fbpx

Notis merah Sirul Azhar masih berkuat kuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Shuhaily (gambar kecil). Sirul ketika sesi wawancara bersama Al Jazeera English di Sydney, Australia. - Al Jazeera

KUALA LUMPUR – Bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar, yang disabitkan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006, masih di bawah notis merah Polis Antarabangsa (Interpol).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, notis merah terbabit masih diteruskan susulan kerajaan masih berusaha membawa pulang Sirul ke Malaysia.

“Saya fikir Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sudah beritahu dengan jelas. Kita masih berusaha, mengkaji kaedah kerana ia melangkaui kuasa polis di peringkat Pejabat Peguam (AGC).

“Notis merah terhadap Sirul masih berkuat kuasa dan disebabkan itu kita masih berusaha membawa Sirul balik ke sini,” ujarnya ketika sidang akhbar di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Dalam temu bual eksklusif bersama saluran berita Aljazeera English’s 101 East, Sirul merayu untuk tinggal di Australia dan menyatakan bahawa adalah berbahaya baginya pulang ke Malaysia.

Sehubungan itu, Sirul juga memohon maaf kepada keluarga Altantuya dan meminta pengampunan mereka.
Sirul mendakwa bahawa dia tidak bertanggungjawab atas pembunuhan itu walaupun telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah tertinggi di Malaysia.

Menurutnya, dia telah dijadikan ‘kambing hitam’ dan terperangkap dalam permainan politik. Sirul juga mengaku menerima wang RM1 juta semasa berada di Australia daripada sumber yang tidak dinamakan untuk ‘menutup mulutnya’.

Terdahulu Kosmo! melaporkan proses membawa pulang bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar yang disabitkan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006, bergantung kepada keputusan kerajaan Australia.

Menurut Razarudin, perbezaan peruntukan undang-undang di Malaysia dan Australia menyebabkan proses berkenaan terhalang.

Menurutnya, selain isu ‘dual criminality’, ia juga bergantung kepada Sirul sama ada mahu pulang ke Malaysia bagi berhadapan dengan hukuman dikenakan oleh mahkamah sebelum ini iaitu hukuman bunuh.

“Hukuman itu memang berkuat kuasa dan telah dijatuhkan. Melainkan, Sirul nak balik ke Malaysia, dia menggunakan keperluan dia, ataupun dia menggunakan diri sendiri, untuk memohon kepada mahkamah supaya hukuman itu dikaji semula,”ujarnya sebelum ini. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI