fbpx
SELAIN berlakon, Fattah Amin kini teruja melebarkan sayap seninya sebagai produser dan pengarah.

Integriti Fattah Amin, tak perlu jalan pintas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KREDIBILITI Fattah Amin sebagai penggiat seni serba boleh semakin terserlah apabila aktif dengan tugasan belakang tabir yang dikatakan cukup dekat dengan dirinya mutakhir ini.

Kesibukan memenuhi jadual penggambaran bukan kekangan untuk aktor fokus terhadap cabang seni yang kini digilap iaitu pengarahan video iklan di bawah syarikat Fazura Pictures iaitu rumah produksi bersama isterinya, Fazura.

Lebih sedekad mencanai bakat bermula sebagai model dan kemudian bergelar pelakon, Fattah, 33, turut mencabar diri supaya lebih fokus sebagai produser serta pengarah.

Mengakui dunia penerbitan mempunyai cabaran tersendiri, dia enggan tunduk dengan keadaan, sebaliknya berusaha keras menjual produk dengan gigih keluar masuk sesi ‘pitching’.

Pernah diusik seseorang agar menggunakan pengaruh, tegas pemilik nama lengkap Abdul Fattah Mohd. Amin perkara sebegitu tiada dalam kamus hidup mereka yang meletakkan integriti di tempat utama.

“Syarikat ini masih baharu tetapi dari segi produksi kami banyak menghasilkan video korporat, produksi iklan serta pelbagai lagi penerbitan lain di mana saya sendiri duduk di kerusi pengarah.

“Hakikatnya saya gunakan pengalaman berlakon selain ilmu ketika bekerja dengan pengarah hebat untuk diadaptasi dalam hasil kerja saya.

“Apa pun sokongan isteri selain kerjasama pasukan membuatkan Fazura Pictures tidak pernah kering idea dalam menghasilkan kisah menarik untuk dinilai dalam sesi pitching (saringan perolehan).

“Bagi saya tidak perlu jalan pintas kerana kejujuran itu penting dalam kita mencari peluang dan ruang. Saya percaya pempamer juga menilai kualiti,” katanya.
Fattah ditemui ketika hadir menemani dan memberi sokongan kepada isterinya pada majlis Ngopi Bersama Fazura di sebuah hotel ternama, baru-baru ini.

Kolaborasi dengan isteri

Diusik mengenai desas-desus berkenaan kolaborasi bersama suri tercinta di layar perak, baginya perkara tersebut perlu disahkan pihak berkaitan.

Sebagai pelakon, dia hanya memenuhi perkara yang digariskan dalam kontrak sementelah hal berbangkit lain adalah di bawah tanggungjawab penerbit.

Fattah selesa tidak menjawab khabar angin bakal bergandingan dengan Fazura sebagai teraju utama dalam prekuel filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.

“Saya hormati kontrak sekali gus tidak akan sesekali buka mulut mengenai prekuel filem itu kerana lebih baik tunggu saja penerbit umumkan.

“Saya pasti rakan media pun faham sebagai artis kami terikat kontrak dan tak boleh melangkaui penerbit dengan memberi kenyataan,” tambahnya.

FATTAH kini aktif di belakang tabir sebagai produser dan pengarah video bagi kempen iklan yang diterbitkan di bawah Fazura Pictures.

Sebelum ini penerbit, Abdul Rahman Mt Dali mengesahkan pengarah, Syamsul Yusof dan dua pelakon, Adi Putra serta Beto Kusyairi tidak terlibat dalam prekuel filem berkenaan.

Enggan terus membicarakan hal tidak pasti, aktor yang pernah dinobatkan gelaran Bintang Paling Popular itu kembali teruja apabila ditanya mengenai kebanjiran pelakon pelapis.

Jaga imej

Diminta berkongsi pandangan, Pelakon Lelaki Terbaik World Film Carnival 2021 itu berharap generasi bintang muda dapat menjaga tingkah laku dan disiplin.
Jelasnya, itupun kalau mereka memang bercadang ingin kekal lama dalam industri hiburan yang penuh sepak terajang tersendiri.

“Kalau sejak mula dah tak pandai jaga imej, nama dan sikap, orang akan bercakap terutama dalam kalangan pekerja produksi, peminat dan media sendiri.

“Nanti kita juga yang rugi sebab semuanya bermula dengan sikap kita sepanjang bekerja dengan pasukan serta pihak sekeliling.

“Saya pun dulu pernah dikenali sebagai bakat baharu, habis belajar di universiti terus masuk Hero Remaja dan jadi pelakon tapi saya jadi pelakon bukan nak popular, sebaliknya bantu keluarga,” katanya panjang lebar.

PERNAH dikritik ketika mula-mula bergelar aktor mendorong Fattah sentiasa belajar memperbaiki kekurangan diri.

Meletakkan pelakon senior lain sebagai contoh, Fattah percaya, bakat adalah apa yang paling utama dalam mengejar impian.

Dedahnya, bintang seperti Bront Palarae dan Beto Kusyairy adalah gurunya dalam memastikan kerjaya terus mewangi.

“Saya bukan jenis berbakat besar. Saya kena belajar dari bawah selain perlu hati kental supaya tak cepat melatah berdepan kritikan.

“Komen netizen itu biasa, cuma jangan cepat sentap, sebaliknya kita jadikan kata-kata pedih orang sebagai senjata untuk bangkit.

“Paling penting jangan sombong sebab industri kita kecil saja, takut nanti tiada produser mahu ambik kerja dek sikap kita sendiri,” ujarnya menggulung bicara. – KOSMO ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN