fbpx

Ada masalah jangan sampai buat live – Bekas wartawan hiburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Khalidah ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi perbicaraan kes saman Siti Nordiana Alias terhadap lima rakan artis. Foto oleh IQBAL ROSLI/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Seorang bekas wartawan kanan hiburan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, tindakan memburukkan sesama rakan artis melalui siaran langsung (live) perlu dielakkan agar perbuatan itu tidak menjadi rujukan dalam industri hiburan tempatan.

Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin, 47, menegaskan, perbalahan yang berlaku di antara penyanyi Siti Nordiana Alias dan lima rakan artis sebenarnya tidak perlu diperbesar-besarkan.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan tidak menyangka perbalahan di antara Siti Nordiana dan lima sekawan itu berlarutan sehingga ke mahkamah.

“Jika berlaku masalah di antara rakan artis, tidak perlulah sampai membuat `Live’ memburuk-burukkan pihak yang lain. Saya tidak setuju kerana tindakan itu akan menjadi rujukan pada masa depan,” ujarnya yang mempunyai pengalaman dalam dunia hiburan melebihi 20 tahun.

Tengku Khalidah menyatakan demikian ketika memberi keterangan sebagai saksi plaintif dalam perbicaraan kes saman yang dikemukakan oleh Siti Nordiana terhadap kelima-lima atas dakwaan memfitnah.

Lima defendan itu ialah penyanyi Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd. Razlan Mohamed Yusof, 38, dan isterinya, Nur Sheila Hassim, 38, serta penyanyi Syura atau Zuraidah Badron, 37.

Dua lagi ialah Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 45, serta jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 43.

Pada sesi pemeriksaan semula oleh peguam Abang Azlan Abang Ariffin yang mewakili Siti Nordiana, Tengku Khalidah berkata, rakaman Live itu menjadi tular namun beliau tidak langsung menyangka ia membawa kepada kes saman difailkan Siti Nordiana.

Ketika disoal balas oleh peguam Fithril Hakim Ab. Jalil yang mewakili Sam Musyadzahar, beliau mengetahui perbualan kelima-limanya selepas melayari laman Youtube ‘Manusia Lemah’ pdaa Julai 2021.

Dalam keterangannya, Tengku Khalidah menyatakan, sepanjang bertugas sebagai wartawan hiburan bagi penerbitan akhbar dan majalah di bawah Kumpulan Utusan, Siti Nordiana seorang yang profesional ketika ditemubual dan dalam sesi fotografi.

Beliau yang kini berjawatan Ketua Cawangan Penjenamaan Editorial, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyatakan, penyanyi itu juga mudah berurusan dengan wartawan hiburan daripada media lain.

“Saya sering berurusan dengan Siti Nordiana sejak awal kemunculannya dalam industri hiburan pada akhir 1990an, saya hampir tidak pernah mendengar rungutan mengenainya,” ujar saksi itu.

“Plaintif hampir tiada terlibat dengan isu kontroversi yang boleh mengancam kewujudannya sebagai penyanyi baharu. Ia merupakan kekuatan asas plaintif yang membezakannya dengan penyanyi baharu yang lain,” ujarnya dalam pernyataan saksi.

Tengku Khalidah yang juga bekas Ketua Unit Komunikasi Korporat di Kementerian Perpaduan turut menyatakan, beliau juga mempunyai hubungan yang baik dengan empat pihak lain namun tidak mengenali Razidah.

Dalam prosiding itu, peguam Azlan Abdul Razak mewakili Lan Solo, Nur Sheila dan Syura manakala Nur Izzaida Zaman bagi pihak Razidah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. John Lee Kien How @ Mohd. Johan bersambung 28 November ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI