fbpx

Koperal didakwa tendang, pukul bini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zulhazree didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini kerana menendang dan memukul isterinya Mei lalu. -Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

IPOH – Seorang anggota polis berpangkat koperal didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menendang dan memukul isterinya Mei lalu.

Tertuduh, Mohd. Zulhazree Razali, 39, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada empat anak itu didakwa dengan sengaja telah mendatangkan kecederaan terhadap Nur Atirah Suhana Che Razak, 29, dengan menendang, menampar dan memukul menggunakan bakul.

Dia didakwa memukul wanita itu yang juga anggota polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sebuah rumah di Persiaran Hulu Bercham 8, Bandar Baru Putra, Ipoh pada pukul 7 pagi, 9 Mei 2023.

Pendakwaan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A kanun yang sama.

Bagi Seksyen 323, tertuduh boleh dipenjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan manakala bagi Seksyen 326A, dia boleh dikenakan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang boleh dikenakan di bawah Seksyen 323.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Vatchira Wong Rui Fern manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Syahmi Amran.

Terdahulu, Vatchira Wong mencadangkan jaminan RM5,000 terhadap tertuduh beserta syarat tambahan untuk tidak mengganggu mangsa.

Bagaimanapun, Ahmad Syahmi dalam rayuannya memohon anak guamnya itu dilepaskan dengan jaminan minimun RM2,000 atas alasan tertuduh perlu menanggung empat anak yang masih bersekolah berusia antara lima hingga 10 tahun.

Jelas beliau, anak guamnya itu juga telah memberi kerjasama baik kepada pihak polis sepanjang siasatan dijalankan dan tidak akan melarikan diri sekiranya diberi ikat jamin.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh selain tidak dibenarkan mengganggu mangsa sehingga kes selesai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI