fbpx

Semoga Ina Naim kuat, tabah – Mawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mawi mendoakan agar Ina Naim terus tabah mendepani hidup selepas kehilangan suami tersayang, Allahyarham Suhaimi Saad.

PETALING JAYA – Penyanyi dan penyampai radio, Mawi mendoakan agar balu kepada rakan seperjuangannya Allahyarham Suhaimi Saad, Ina Naim dikurniakan kekuatan atas pemergian insan tersayang.

Mawi berkata, dia yakin Ina atau nama sebenarnya Nor Diana Naim dan keluarga yang ditinggalkan akan terus cekal mengatur langkah dalam kehidupan.

“Saya sentiasa mendoakan semoga keluarganya dalam keadaan kuat. Kita hanya mampu berdoa tetapi yang memberi kekuatan adalah Allah SWT.

“Kita doakan juga semoga Allah SWT pilih dia (Suhaimi) sebagai kekasih-Nya,” katanya dalam perkongsian video dalam Instagram.

Pada hantaran sama, pemilik nama lengkap Asmawi Ani, 42, itu meluahkan rasa syukur apabila ramai berkongsi perkara baik yang dilakukan Allahyarham ketika hayatnya.

“Alhamdulillah kalau ramai bercerita kebaikan kita kerana itu satu petanda baik, yang takut kalau orang cakap tentang keburukan.

“Boleh jadi contoh dan inspirasi tapi janganlah buat baik sebab nak orang puji kita selepas mati, niat sudah lari.

“Sebenarnya buat baik ini biarlah ikhlas. Esok kita mati orang hendak cerita baik atau sebaliknya, terserah kepada Allah

“Cuma yang masih ada peluang di dunia Allah bagi ini, banyak-banyak buat kebaikan. Kalau ada rezeki lebih, berkongsi dengan orang lain,” ujarnya.

Suhaimi yang juga bekas anggota In-Team menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI) pada Rabu minggu lalu akibat jangkitan kuman di paru-paru.

Pemergiannya masih diperkatakan sehingga ke hari ini dengan ramai kenalan terdekat mendedahkan kebaikan dilakukan Allahyarham sepanjang hayatnya.

Sebelum ini, Mawi pernah menjadi tunangan kepada Ina pada 10 Februari 2004, namun ikatan mereka terputus 10 Julai 2006.

Setahun kemudian, Ina berkahwin dengan Suhaimi, manakala Mawi menikahi Ekin pada 21 Disember 2008. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI