Baru-baru ini kita dikejutkan dengan pendedahan satu video membabitkan orang ternama yang menjadi perbualan hangat di seluruh negara.
Dalam video tersebut terkandung perbualan yang tidak sepatutnya didedahkan kepada khalayak kerana ia agak memalukan kepada sesiapa sahaja.
Bukan sahaja orang dewasa, video itu turut dilihat oleh kanak-kanak kerana ia telah tersebar di semua platform media sosial yang boleh diakses oleh sesiapa sahaja.
Penyebaran tersebut mengundang persoalan sejauh mana dunia orang ternama atau politik akan aman daripada cara menjatuhkan seseorang menggunakan video yang ditularkan.
Apakah tujuannya belum dapat dipastikan tetapi apabila difikirkan, ia tidak lain tidak bukan mempunyai agenda tersendiri untuk membuatkan seseorang individu dijatuhkan dan dimalukan sedemikian rupa.
Umum mengetahui sebelum ini juga beberapa rakaman video sengaja disebarkan untuk memalukan individu yang ingin ditohmah.
Sama ada ia benar atau tidak itu nombor dua yang penting kemusnahan pertama telah berjaya dilakukan. Pahala dan dosa tolak tepi.
Zaman ini kuasa tular memang mampu menjatuhkan atau mengangkat orang dalam tempoh yang singkat.
Jika ada video atau gambar mengenai orang susah atau tertekan dalam hidupnya cepat sahaja bantuan tiba sama ada ditolong oleh orang persendirian atau pihak berkuasa.
Bagaimanapun, dalam keghairahan untuk menjadi orang pertama yang menyebarkan sesuatu perkara itu, jangan dilupakan untuk memastikan sama ada ia sahih atau tidak.
Apa yang berlaku kepada seorang individu yang menyebarkan video pemandu sebuah bas patut dijadikan iktibar oleh kita semua.
Apa yang diperkatakan berbalik kepada empunya diri apabila ia sebenarnya berlainan dengan apa yang didakwa.
Akhirnya, diri sendiri yang mendapat natijahnya dan perlu pula membuat permohonan maaf dan berdepan dengan siasatan pihak berkuasa.
Sesuatu perlu dilakukan oleh pihak berkuasa untuk mengekang tohmahan seperti ini berlaku pada masa akan datang.
Perkara seperti ini perlu digentikan dengan segera kerana ia akan membuatkan bukan sahaja orang uang dituju, malah ahli keluarga pun akan turut terkena tempias.
Siasatan perlu dilakukan secara menyeluruh supaya keadilan kepada semua pihak dapat ditegakkan. Khalayak juga perlu mengetahui apa kesudahan siasatan sama ada ia tulen atau telah disunting.
Sudah tentu ketika ini polis sedang berusaha untuk mencari penyebar utama video tersebut. Walupun nampak seperti sukar tetapi kita yakin polis mempunyai kepakaran yang secukupnya untuk menyiasat kes seperti itu.















