fbpx

Dewan Rakyat: Saiz pasaran ekuiti Malaysia RM1.78 trilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Saiz pasaran ekuiti Malaysia bernilai RM1.78 trilion setakat 25 September lalu iaitu peningkatan sebanyak RM42.68 billion atau kira-kira 2.5 peratus berbanding RM1.74 trilion pada 31 Disember 2022.

Timbalan Menteri Kewangan, Sim Chee Keong berkata, penyertaan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dalam pasaran ekuiti di Malaysia mewakili 7.7 peratus daripada jumlah purata nilai dagangan harian.

“Berdasarkan data daripada Bursa Malaysia dalam Dokumen Tinjauan Ekonomi 2024 oleh Kementerian Kewangan, prestasi urus niaga pada tahun ini, setakat 31 Ogos 2023 adalah lebih baik berbanding tahun lalu.

“Khususnya dari segi peningkatan bilangan unit yang diurus niaga iaitu jumlah bilangan unit urus niaga meningkat sebanyak 14.4 peratus daripada 489.4 bilion unit kepada 559.6 bilion unit dan purata urus niaga harian juga meningkat 15.1 peratus daripada 3 bilion unit kepada 3.5 bilion unit,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) berhubung jumlah Ringgit Malaysia yang telah dilabur oleh syarikat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan GLIC di Malaysia dan di luar negara.

Terdahulu, Chee Keong berkata, sepanjang tempoh 2019 hingga 31 Ogos 2023, lebih 60 peratus dana pelaburan GLIC adalah dalam pasaran domestik dan berdasarkan peruntukan aset strategik, secara purata antara 15.8 hingga 62.7 peratus dana pelaburan GLIC adalah dalam ekuiti tersenarai domestik di Bursa Malaysia.

Menurut beliau, jumlah dana pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga 31 Ogos 2023 adalah sebanyak RM1,096 bilion dan purata pelaburan dalam pasaran domestik adalah 64.9 peratus yang mana 24.4 peratus dalam ekuiti tersenarai domestik.

Kata beliau, jumlah dana pelaburan bagi Permodalan Nasional Berhad (PNB) sehingga 31 Ogos 2023 pula adalah RM332 bilion dan purata pelaburan dalam pasaran domestik adalah 84.3 peratus yang mana 74.4 peratus dalam ekuiti tersenarai domestik.

Tambah beliau, bagi Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP], jumlah dana pelaburan sehingga 31 Ogos 2023 pula RM167 bilion dan purata pelaburan dalam pasaran domestik adalah 79.3 peratus yang mana 45.2 peratus dalam ekuiti tersenarai domestik.

“Lembaga Tabung Haji (LTH), jumlah dana pelaburan sehingga 31 Ogos 2023 adalah RM91 bilion dan purata pelaburan dalam pasaran domestik 90.1 peratus yang mana 18.3 peratus dalam ekuiti tersenarai domestik.

“Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), jumlah dana pelaburan sehingga 31 Ogos 2023 adalah RM10.5 bilion dengan keseluruhan dana dilaburkan dalam pasaran domestik yang mana 52 peratus dalam ekuiti tersenarai domestik,” katanya.

Tambah beliau, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) pula telah membuat pelaburan domestik RM9.2 bilion dalam tempoh 2019 sehingga 2022 bersamaan 32.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan bernilai RM28.3 bilion.

Jelas beliau, sehingga 31 Disember 2022, jumlah portfolio pelaburan Khazanah dengan Nilai Aset Boleh Direalisasikan sebanyak RM122.5 bilion dan daripada jumlah ini, nilai pasaran pegangan Khazanah dalam negara adalah RM81.2 bilion atau 66.3 peratus,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI