fbpx
SALIZA menunjukkan kuntuman bunga yang dihasilkan daripada daun getah yang telah direndam selama sebulan.

Jana duit dengan buat bunga daripada daun getah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Walaupun pernah ditertawakan kerana mengutip daun getah, namun wanita itu tidak patah semangat untuk meneruskan minatnya menghasilkan bunga daripada daun tersebut.

Bahkan, Saliza Mohd. Shariff, 59, memilih untuk menghabiskan masa menghasilkan pelbagai jenis bunga daripada daun getah berbanding menonton rancangan hiburan mahupun media sosial.

Menurutnya, minat itu timbul sejak dia berusia 18 tahun.

Ujarnya, dia tidak menyangka bunga daripada daun getah yang digubahnya mempunyai pembeli terutamanya dalam kalangan rakan adiknya di sekolah.

“Ketika itu, saya buat sikit-sikit sahaja kerana tidak ada masa disebabkan kekangan kerja.

“Kira-kira lima tahun lalu, semasa menjaga emak sakit, saya kembali meneruskan minat ini.

“Saya mula fokus menghasilkan bunga daripada daun getah secara serius selepas emak meninggal dunia pada tahun lalu,” katanya ketika ditemui di Bengkel Bunga Daun Getahnya di Kampung Minching, Pedas, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Cerita Saliza yang kini merupakan salah seorang usahawan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), proses menghasilkan bunga daripada daun getah mengambil masa lama, namun ia sangat menyeronokkan.

“Bunga daun getah ini pun tahan lama iaitu sehingga 10 tahun sekiranya tidak terdedah secara terus kepada cahaya matahari,” katanya.

SALIZA menjana pendapatan dengan menghasilkan bunga daripada daun getah di bengkelnya di Kampung Minching, Pedas, Negeri Sembilan.

Menurutnya, atas sebab itu, harga yang dikenakan bagi setiap kuntuman bermula daripada RM3 dan ke atas kerana prosesnya bukanlah mudah.

Tambahnya, bunga itu cukup eksklusif kerana dibuat sepenuhnya menggunakan kemahiran serta kreativiti sendiri.

“Mula-mula saya buat bunga ini, ramai orang ketawa. Ada orang mempersoalkan saya mengutip daun getah.

“Saya katakan kepada mereka, sebelum jadi duit, daun ini kena ‘diubah’ terlebih dahulu.

“Alhamdulilah, permintaan bunga daripada daun getah ini memang ada dan menjadi salah satu seni kraf tangan.

“Kalau orang lain boleh hasilkan dan promosi kraf tangan daripada rotan, mengkuang, apa kurangnya daun getah pun.

“Ini kerana, ia boleh menghasilkan pelbagai jenis bunga seperti ros, teluki dan bunga matahari,” katanya.

Ujar Saliza, dia kini semakin yakin dengan kraf tangan itu selepas menyertai kursus di bawah Risda.

BUNGA ros ini dihasilkan dengan menggunakan daun getah.

Ujarnya, dia berasa ‘sayang’ sekiranya daun getah dibiarkan begitu sahaja sedangkan ia boleh digunakan untuk membuat duit.

“Tuhan sudah bagi rezeki jangan kita bazirkan. Pada pendapat saya, bunga daripada daun getah ini sangat unik dan cantik,” katanya.

Menurutnya, terdapat enam peringkat bagi penghasilan bunga daripada daun getah.

Pertamanya adalah memetik atau mengutip daun getah.

“Biasanya, saya lebih suka mengambil stok daun getah di nurseri Risda di Melaka.

“Ini kerana, daun getah di situ lebih besar, cantik serta sihat berbanding daun getah liar atau di kebun.

“Ini kerana, daun getah biasa lebih kecil serta mempunyai bintik-bintik,” ujarnya.

Katanya, dia juga ada mengupah orang untuk mencari daun getah dengan bayaran sekitar RM2 bagi sekilogram.

“Keluarga kami pun ada kebun getah. Jadi, memang tidak ada masalah sekiranya daun habis.

“Saya akan minta bantuan daripada suami atau anak buah untuk ambil daun ini di kebun,” kata Saliza.

Tambahnya, dia juga mendapatkan daun daripada pokok getah yang tumbuh meliar di kawasan berhampiran bengkelnya.

“Langkah kedua, saya akan rendam semua daun getah berwarna hijau itu selama sebulan dalam air biasa.

“Selepas sebulan, kotoran dan klorofil pada daun akan hilang.

“Ketika ini, ramai yang tidak tahan dengan bau daun getah.

“Ini kerana, ia berbau agak busuk seperti getah skrap. Namun, saya sudah biasa dengan bau berkenaan,” katanya.

Selepas itu, dia akan membilas daun getah tersebut sebelum merendam semula dengan cecair peluntur sehingga daun benar-benar putih.

“Setelah daun menjadi putih, langkah seterusnya adalah mengeringkan daun getah ini.

“Daun ini tidak boleh dikeringkan terus dengan cahaya matahari, sebaliknya dijemur di dalam bengkel. Kalau ada pendingin hawa lebih cepat daun kering,” ujarnya.

Menurutnya, setelah kering, dia akan memilih daun yang sesuai untuk dibuat bunga.

Langkah terakhir, bunga yang telah dihasilkan akan diwarnakan.

“Ketika ini, saya memang seronok kerana sehelai demi sehelai daun akan digunakan untuk membuat kuntuman bunga ros.

“Sebab itu saya sering pastikan daun tidak putus bekalan kerana permintaan sentiasa ada.

Terangnya lagi, biasanya, dia mendapat tempahan membuat bunga telur untuk majlis perkahwinan atau lain-lain lagi. Maklumnya, setiap set bunga telur boleh disiapkan dalam tempoh satu hingga dua minggu.

“Ada tempahan dari Perak, Singapura dan sekitar Lembah Klang. Hasrat saya adalah untuk kembangkan kraf tangan ini dan mempunyai komuniti sendiri,” ujarnya.

Menurut Saliza, kebanyakan orang menghasilkan kraf tangan itu untuk ganjaran wang semata-mata, sebaliknya dia lebih kepada minat.

“Selain bunga telur, ada juga tempahan untuk dijadikan cenderahati berbentuk daun atau bunga yang telah dikeringkan sebelum diletakkan dalam bingkai gambar dan bunga konvokesyen.

Selain itu, Saliza turut menghasilkan hiasan bunga daripada buah petola yang dikeringkan.

Namun, dia akan menghasilkan kraf tangan itu berdasarkan permintaan pelanggan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN