fbpx

Sharnaaz lepas, bebas pertuduhan cederakan pengawal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sharnaaz ketika ditemui selepas prosiding kes hari ini. Foto oleh Iqbal Rosli/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Selepas hampir setahun turun naik mahkamah, pelakon Sharnaaz Ahmad menarik nafas lega apabila dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium, tahun lalu.

Difahamkan pengawal keselamatan itu merupakan penghuni kondominium berkenaan tetapi bekerja di kediaman lain.

Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim memutuskan demikian selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak berhubung representasi yang dihantar selebriti itu.

“Setelah mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan mahkamah berpuas hati dan dengan ini memerintahkan supaya pertuduhan terhadap Orang Kena Saman (OKS) (Sharnaaz) dilepas dan dibebaskan (DNA) manakala wang jaminan dikembalikan,” kata Majistret Atiqah.

Terdahulu peguam Datuk Wan Azmir Wan Majid yang mewakili Sharnaaz memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima jawapan melalui surat balas berhubung representasi yang mana pihak pendakwaan ingin menarik balik kes.

Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal kemudian mengesahkan pihak pendakwaan mendapat arahan daripada pihak atasan supaya Sharnaaz hanya dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).

Mendengar perkara itu, Wan Azmir tetap dengan pendirian memohon supaya anak guamnya dilepas dan dibebaskan memandangkan pihak pengadu sendiri telah menarik balik kes.

“Pengadu telah membuat laporan polis menarik balik kes, saya pohon satu keputusan lepas dan bebas diberikan kepada Sharnaaz,” kata peguam itu.

Mengikut pertuduhan Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 38, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 27 tahun di kawasan lif pintu masuk sebuah blok kondominium di Jalan Dutamas di sini pukul 8.30 malam pada 16 Jun 2022.

Berikutan itu pendakwaan terhadap pelakon ‘Suamiku Encik Sotong’ itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu Sharnaaz ketika ditemui selepas prosiding kes itu melahirkan rasa syukur dan gembira dengan keputusan hari ini.

“Alhamdulilah… walaupun mengambil masa panjang sedikit tetapi saya bersyukur, lega dan akhirnya saya seorang yang bebas.

“Walaupun ia soal remeh tapi ia melibatkan soal reputasi dan perjalanan karier saya,” kata pelakon itu.

Tahun lalu media melaporkan, seorang pelakon lelaki berusia 30-an direman selepas disyaki menumbuk dan menendang seorang penghuni kondominium di Segambut, di sini pada Jun tahun lalu.

Penghuni kondominium itu bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kondo lain berdekatan dengan tempat kejadian.

Pelakon yang mendiami kondominium sama dilaporkan menumbuk dan menendang mangsa selepas rakan mangsa yang hendak menghantar minyak masak dilarang memasuki kawasan kondominium berkenaan oleh pengawal keselamatan di situ.

Kejadian dipercayai berlaku selepas berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dengan pengawal keselamatan sebelum pelakon terbabit datang secara tiba-tiba dan memukul mangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI