fbpx

Kerjasama MFPC, UPSI tingkatkan kadar kebolehpasaran graduan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suriani bersama Presiden MFPC, Andy Ng Yen Heng menandatangani persetujuan MoA.

PETALING JAYA – Malaysian Financial Planning Council (MFPC) telah memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) yang baharu bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi memperkukuh kerjasama bersama dalam bidang pendidikan.

MoA tersebut memfokuskan kepada pendidikan berkaitan kewangan dalam meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan UPSI khususnya kepada pelajar Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Perkhidmatan Kewangan) Dengan Kepujian di bawah naungan Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE).

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dr. Suriani Abu Bakar berkata dengan pewujudan pensijilan profesional itu, kadar kebolehpasaran graduan bagi program Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Perkhidmatan Kewangan) adalah antara yang tertinggi di UPSI iaitu 98.9 peratus pada tahun 2022, 100 peratus pada 2021 dan 97.3 peratus 2020.

Jelasnya, pencapaian itu menunjukkan bahawa kerjasama tersebut berjaya memberi nilai tambah pensijilan kepada para graduan serta mempunyai enrolmen tertinggi di fakulti yang juga telah memenangi program terbaik dalam Anugerah Akademia UPSI bagi tahun 2022.

“Penawaran program ini kepada pelajar dilihat selaras dengan permintaan industri dalam meningkatkan bilangan graduan profesional untuk memenuhi keperluan tenaga kerja di seluruh negara dan membuka peluang kepada jaringan kerjasama dengan pihak industri.

“Seterusnya, ia memberikan nilai tambah kepada para graduan UPSI dengan penganugerahan Registered Financial Planner (RFP) yang dapat menjamin laluan kerjaya mereka di dalam bidang berkenaan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Suriani berkata, satu lagi pencapaian penting diperolehi apabila UPSI menjadi universiti pertama yang berperanan sebagai perintis kepada penubuhan Kelab Perancangan Kewangan di bawah MFPC.

Ujar beliau, penubuhan kelab itu akan membolehkan penglibatan yang lebih erat antara UPSI dan industri melalui MFPC, yang akan bertindak sebagai penasihat industri.

Terdahulu, MoA di antara UPSI dan MFPC yang ditandatangani pada tahun 2017 berjaya memberi impak positif terutamanya dari aspek peningkatan kadar kebolehpasaran bagi graduan UPSI dan kerjasama ini diteruskan selaras dengan matlamat UPSI sebagai peneraju kebitaraan pendidikan.

MFPC adalah satu badan bebas yang telah didaftarkan pada 10 Mac 2004 di bawah Akta Pertubuhan 1996 dengan objektif murni untuk menggalakkan pembangunan dan peningkatan profesion perancangan kewangan di seluruh negara.

Selain itu, badan berkenaan juga menyediakan set Piawaian Amalan Terbaik dan Kod Etika yang sentiasa berkembang yang perlu dipatuhi oleh Perancang Kewangan Berdaftar (RFP) dan penerima RFP Syariah.

MFPC juga memberikan anugerah Best Student Associate RFP kepada pelajar terbaik setiap kohort setelah lulus modul-modul peperiksaan yang ditetapkan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI