fbpx
SCHA ALYAHYA

Jangan sekadar jaguh kampung – Scha Alyahya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEMPERLAHANKAN karier lakonan bukan kerana sendu mahupun tidak laku, sebaliknya Scha Alyahya menerima banyak tawaran, namun terpaksa menggelengkan kepala dek pertindihan jadual dengan komitmen sedia ada.

Jadi, siapa tidak kenal figura jelita bernama Scha Alyahya. Graf kerjaya wanita tinggi lampai itu menyerlah sebagai selebriti serba boleh baik di gelanggang lakonan, peragaan mahupun pengacaraan.

Masa bergulir, agak lama sebenarnya kelibat pemilik nama penuh Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya itu tidak muncul mewarnai segmen lakonan naskhah televisyen atau layar perak.

Sesekali sahaja wajahnya menyerikan acara hiburan, itu pun hanya sebagai hos serta juri jemputan program televisyen.

Bukan kerana sendu, sebaliknya anak jati Sungai Petani, Kedah itu sendiri memilih untuk memperlahankan rentak lakonan dek kekangan masa dan komitmen lain.

DEMI memenuhi permintaan peminat, Scha cuba sedaya upaya untuk kembali aktif menerusi drama mahupun filem bermula tahun hadapan.

Tidak pernah meletakkan titik noktah terhadap kerjaya lakonan, wanita berusia 40 tahun itu masih dihujani tawaran lakonan, namun terpaksa diketepikan akibat pertindihan jadual.

“Saya banyak dapat tawaran cumanya saya anggap tiada rezeki lagi untuk berlakon kerana selalunya akan bertindan dengan komitmen kerja lain, selain sibuk menguruskan keluarga.

“Bila tawaran lakonan datang serentak dengan tawaran lain, saya akan ambil mana yang lebih dekat dengan jiwa, macam pengacaraan dan peragaan.

“Saya tak kata lakonan tidak penting tetapi saya perlu adil kepada pihak lain sebab saya ada jadual sendiri, berlakon menuntut banyak masa dan enggan menyusahkan produksi,” ujarnya serius.

Mengulas lanjut permintaan peminat yang ingin melihatnya berlakon, Scha tidak mahu menabur janji manis sebaliknya cuba sedaya upaya kembali aktif dalam bidang tersebut.

“Saya tidak mahu janji bulan dan bintang tetapi apa yang boleh saya katakan, filem terbaharu lakonan saya akan keluar tahun hadapan berjudul Telaga Suriram.

“Drama pula mungkin saya akan mula aktif tahun hadapan juga, insya-Allah.

“Saya tahu ramai peminat menantikan kemunculan semula saya dalam drama mahupun filem jadi saya akan cuba yang terbaik tahun hadapan.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya tidak memperlahankan rentak seni. Cuma saya memilih untuk prioritikan perkara lain,” tegas Scha.

Demi memenuhi permintaan peminat, Scha cuba sedaya upaya untuk kembali aktif menerusi drama mahupun filem bermula tahun hadapan.

TIDAK berniat untuk menoktahkan karier lakonan, Scha mengakui menerima banyak tawaran, namun terpaksa menolak kerana sudah terikat dengan komitmen sedia ada seperti peragaan dan pengacaraan.

Pelapis baharu perlu bijak

Kini sibuk dengan komitmen sebagai mentor serta juri tetap program Hero Dewi Remaja 2023, Scha sempat melontarkan pandangan tentang situasi selebriti generasi baharu kini yang lebih mudah ke hadapan untuk mencipta nama ke peringkat global.

Isteri kepada Awal Ashaari itu percaya, evolusi dunia media sosial kini menjadi pengaruh besar buat generasi selebriti berbanding artis terdahulu.

Kata Scha, segala kemudahan seperti kepelbagaian platform media sosial perlu diguna sebaik-baiknya oleh selebriti pelapis untuk menempatkan diri ke peringkat yang lebih tinggi dan bukan sekadar jaguh kampung.

“Perlu diakui, masa sudah berubah. Kita punya sasaran pun perlu lebih tinggi sebab kita ada media sosial.

“Kalau tak gunakan platform yang ada, rugi. Pelapis baharu industri seni perlu bijak memanfaatkan setiap ruang teknologi yang terbentang luas. Kena ada usaha dan perkara tersebut tidak mustahil,” katanya.

Mengulas lanjut peranan sebagai juri tetap serta mentor dalam program pencarian bakat baharu, bekas juara Dewi Remaja 2005 itu percaya pendekatan berbeza perlu diambil untuk melentur bakat-bakat baharu sekarang.

“Saya selalu ingatkan mereka untuk tunjuk sisi berbeza. Selain bakat dan ilmu, peserta perlu bijak menyerap sebanyak mungkin pengalaman sewaktu pertandingan itu berlangsung,” ujarnya.

Enggan terlalu lama larut dalam perihal kerjaya, penulis sempat bertanyakan pelakon filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa itu mengenai isu semasa berkaitan konflik yang berlaku antara Palestin dan Israel.

TIDAK takut kerjasama dan hubungan dengan jenama antarabangsa terjejas kerana sokongannya terhadap Palestin, Scha percaya rezeki datang dari Allah dan tiada siapa mampu menidakkan hakikat tersebut.
– ASTRO / INSTAGRAM SCHA ALYAHYA

Teguh sokong Palestin

Belum sempat penulis menghabiskan soalan, ikon fesyen itu dengan segera mengakui, sememangnya lantang membela nasib rakyat Palestin meskipun menyedari keterbukaannya bakal menjejaskan kontrak sedia ada dengan jenama antarabangsa.

Ibu kepada dua puteri itu bagaimanapun berpendapat sokongan yang ditunjukkan masih bertapis.

“Saya faham perkara ini berkaitan sensitiviti tetapi kita duduk di negara Islam, jika pihak lain tidak senang dengan kelantangan saya memperjuangkan Palestin, itu salah mereka sebab logiknya kita ini Islam.

“Betul, saya ada banyak kerjasama dengan jenama antarabangsa tetapi kenapa saya perlu takut?.

“Paling utama, boleh tunjukkan sokongan tetapi jangan menghentam terlalu kasar, kena tahu batas, perlu tahu macam mana nak cakap, benda tu yang penting,” kata Scha.

Ditanya sama ada pihak pengurusan jenama memberi respons terhadap kelantangannya, aktres kelahiran Sungai Petani, Kedah itu mengakui perlu ada komunikasi dan toleransi dengan pihak terbabit.

“Ada jenama yang sensitif, tetapi kadangkala ada yang terlupa macam suruh hadir sesuatu acara, saya nyatakan kurang selesa dan masanya tidak tepat dengan situasi sekarang.

“Apa yang penting, komunikasi antara kedua-dua pihak dan nampaknya mereka sangat memahami.

“Bagi saya, kita kena bijak, perlu ada toleransi dan kerjasama agar semua puas hati. Mujur rata-rata yang kerja dengan saya selalunya faham,” jelasnya panjang lebar

Ditanya kegusaran antara rakan selebriti yang mengambil pendirian neutral berhubung isu Palestin atas alasan bimbang kehilangan tawaran kerja, bintang yang cukup sinonim dengan siri Awan Dania itu percaya rezeki datang dari Tuhan.

“Kita bertuah kerana dilahirkan di Malaysia yang majoriti rakyatnya beragama Islam.

“Jadi mereka (jenama) tahu kepercayaan kita.

“Tak perlu rasa takut, Allah yang beri rezeki, insya-Allah,” ujarnya menutup bicara.

SCHA melihat segala kemudahan seperti kepelbagaian platform media sosial kini perlu diguna sebaik-baiknya oleh selebriti pelapis untuk menempatkan diri ke peringkat yang lebih tinggi agar tidak sekadar menjadi jaguh kampung.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN