fbpx

Habiskan sisa hidup di rumah hampir roboh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pezah (kiri) dan suaminya, Embong menghabiskan usia tua mereka di rumah yang semakin uzur di Kampung Rajawali, Dungun.

DUNGUN – Kesempitan hidup memaksa pasangan suami isteri warga emas terus berteduh di rumah yang semakin uzur di Kampung Rajawali, di sini.

Pezah Ismail, 68, berkata, rumah yang didiami bersama suaminya, Embong Abu Bakar, 78, sejak 40 tahun lalu itu hanya menunggu masa untuk roboh.

“Lantai dan dinding rumah kami yang diperbuat daripada kayu sudah banyak mereput.

“Struktur rumah kami juga semakin tidak stabil disebabkan mendapan tanah sejak beberapa tahun lalu,” katanya di rumahnya di Kampung Rajawali, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, atap rumah mereka terutama di ruang tamu dan bilik tidur juga sudah banyak yang bocor, memaksa mereka tidur di bahagian dapur jika hujan.

Katanya, selain itu rumahnya sering dimasuki air laut disebabkan fenomena air pasang besar pada setiap musim tengkujuh.

“Kami tiada pilihan lain terus berlindung di rumah yang semakin uzur ini kerana tidak berkemam­puan untuk membaikinya apatah lagi membina rumah baharu.

“Suami saya (Embong) yang semakin dimamah usia tidak mampu bekerja lagi terutama selepas ditimpa kemalangan jalan raya, tiga tahun lalu,” katanya.

Pezah yang menghidap pe­nyakit tekanan darah tinggi pula sekadar mampu menjual tebu yang ditanam secara kecil-kecilan untuk mencari rezeki.

Ujarnya, mereka banyak bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200.

“Tambah merisaukan kami, rumah yang diduduki ini sebenar dibina atas tanah orang lain yang boleh diambil semula pada bila-bila masa.

“Saya benar-benar berharap bantuan untuk membina rumah baharu untuk kami berteduh di tanah milik saya berhampiran,” katanya.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun bank Embong bernombor 2006441000147717 (Agro Bank) atau menghubungi Pezah di talian 011-19488802.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI