fbpx

5,648 lokasi berisiko banjir seluruh negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar Hiasan.

KUALA NERUS – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah mengenalpasti 5,648 lokasi berisiko dilanda banjir di seluruh negara sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) yang sudah bermula pada 11 November lalu.

Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed berkata, lokasi terbabit dikategori sebagai berisiko berikutan pernah ditenggelami banjir sekurang-kurangnya tiga kali dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Beliau berkata, Sarawak mempunyai kawasan berisiko banjir tertinggi dengan 1,066 lokasi diikuti Sabah (798), Pahang (750), Johor (745), Kelantan (617), Perak (286) dan Selangor (271).

“Sebanyak 260 lokasi berisiko banjir turut dikenalpasti di Kedah, Terengganu (258), Pulau Pinang (241), Melaka (124), Negeri Sembilan (120), Kuala Lumpur (73), Perlis (22) dan Labuan (17).

“Selain banjir, lokasi berisiko ini juga dinilai berdasarkan kemungkinan kejadian tanah runtuh atau kepala air,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri majlis Penganugerahan Watikah Pegawai Bersekutu, Pingat, Riben Perkhidmatan serta Sijil APM peringkat Terengganu.

Aminurrahim berkata, kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana sepanjang tempoh MTL sehingga bulan Mac tahun hadapan melibatkan 61,839 anggota meliputi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), APM serta Jabatan Relawan.

Beliau juga menasihatkan penduduk di kawasan berisiko mematuhi arahan pihak berkuasa selain peka dengan amaran cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI