PETALING JAYA – Trauma pada masa lalu atau perubahan zaman merupakan antara punca segelintir wanita sanggup berhenti kerja untuk menjaga anak sendiri di rumah.
Pengasas Mind Healing Centre, Kazren Jusri Abdul Karim berkata, ada juga yang ingin mendapat kepuasan sendiri ketika menjaga anak-anak.
“Selain hubungan akrab, ada juga pilihan bekerja dari rumah yang membolehkan mereka menjana pendapatan sambil menguruskan anak-anak.
“Ada sesetengah kes, wanita tidak berhenti kerja tetapi mempunyai peluang untuk melakukannya di rumah dan menghabiskan masa berkualiti bersama anak,” katanya.
Menurut Kazren Jusri, tindakan itu mungkin merupakan manifestasi trauma lalu yang dialami si ibu ketika berada di tadika atau pengasuh yang membentuk satu pemikiran teras yang sangat kuat dalam diri.
Tambahnya, bukan itu sahaja, disebabkan otak manusia yang sangat kompleks, trauma atau fobia akan membuatkan seseorang itu cuba menyesuaikan diri dengan situasi.
“Jika terdengar atau membaca berita mengenai dera, gangguan seksual dan sebagainya, ia boleh mencetuskan trauma. Jadi sebelum apa-apa berlaku, lebih baik bertindak,” katanya.
Ujar Kazren Jusri, penderaan boleh mencetuskan trauma berpanjangan sekiranya ia berlaku ketika kanak-kanak berusia dua hingga tujuh tahun.
“Sekiranya ibu pernah menjadi mangsa dera, besar kemungkinan mereka bukan ambil keputusan tersebut untuk anak-anak tetapi untuk diri mereka sendiri atas trauma masa lalu,” katanya.














