fbpx

Konflik Palestin-Israel: 700,000 kanak-kanak Gaza jadi pelarian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kanak-kanak yang kehilangan tempat tinggal berjalan untuk mendapatkan sarapan di sebuah kem pelarian di Rafah pada 12 November lalu. - AFP

BANDAR RAYA NEW YORK – Lebih 700,000 kanak-kanak di Semenanjung Gaza kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah serangan kejam askar Israel terhadap wilayah Palestin itu, demikian menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) seperti dilaporkan akhbar Palestine News semalam.

Dalam catatan di platform media sosial X, UNICEF menggesa gencatan senjata segera selain menuntut agar laluan selamat disediakan secara berterusan tanpa halangan untuk tujuan menyalurkan bantuan kepada penduduk Gaza. 

Agensi PBB itu sebelum ini memberi amaran bahawa kanak-kanak di Gaza menghadapi situasi kemanusiaan yang teruk di tengah-tengah pencerobohan berterusan Israel, yang telah melumpuhkan perkhidmatan perubatan dan penjagaan kesihatan.

“Kanak-kanak di Gaza berada dalam situasi yang amat berbahaya terutamanya di utara. Ribuan  kanak-kanak kekal berada di utara Gaza ketika pertempuran semakin meningkat.

“Mereka tidak mempunyai tempat untuk dituju dan menghadapi risiko yang sangat bahaya. 

“Kami menggesa agar serangan ke atas kemudahan penjagaan kesihatan dihentikan segera serta penghantaran bahan api dan bekalan perubatan ke hospital dipercepatkan termasuk ke bahagian utara semenanjung itu,” kata Pengarah Wilayah Timur Tengah dan Afrika Utara UNICEF, Adele Khodr.

Sebelum ini, UNICEF memberi amaran bahawa risiko penyakit bawaan air dan penyakit berjangkit lain semakin meningkat sekali gus mengancam kesihatan kanak-kanak ketika ibu bapa menghadapi kesukaran bagi akses kepada bekalan air selamat.

Tambah agensi tersebut, penduduk yang dipindahkan setakat ini iaitu melebihi 1.5 juta orang, kini hidup dalam keadaan sanitasi yang mengerikan selepas tentera Israel menyerang Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini berkata, dianggarkan seorang kanak-kanak terbunuh dalam setiap 10 minit di Semenanjung Gaza yang dikepung askar Rejim Zionis. – AGENSI 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI