fbpx

Siti Bainun makin slim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Bainun diiringi pegawai penjara keluar dari Mahkamah Tinggi hari ini. -Foto oleh Syakir Radin/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Pendengaran rayuan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali di Mahkamah Tinggi di sini menjadi perhatian apabila susuk tubuhnya kelihatan semakin kurus.

Difahamkan, berat badan wanita berusia 31 tahun ini mencecah 150 kilogram ketika mula menjejakkan kaki ke tirai besi, 3 Mei lalu namun kini merosot kepada 90 kg sahaja.

Dia yang memakai baju jubah merah jambu, dibawa ke mahkamah dengan diiringi anggota penjara.

Ketika ditanya media, Bainun sihat? “Saya sihat,” katanya ringkas.

Pada 3 Mei lalu, Siti Bainun, dijatuhi hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan Siti Bainun, 31, gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan dua pertuduhan tersebut.

Pada masa sama, mahkamah turut menolak permohonan Siti Bainun untuk menangguhkan hukuman penjara 12 tahun yang dijatuhkan ke atasnya sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Berikutan itu, Siti Bainun menjalani hukuman penjara serta-merta di Penjara Kajang bermula tarikh disabitkan dengan kesalahan tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa yang berusia 13 tahun sehingga menyebabkan remaja itu cedera fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini pada Februari hingga Jun 2021.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pertama, Siti Bainun dipenjara 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh dipenjara 12 tahun. Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan cagaran RM5,000 sebagai tambahan hukuman.

Sejurus selepas dijatuhi hukuman, Siti Bainun sekali lagi membuat rayuan bagi penangguhan hukuman di Mahkamah Tinggi, namun gagal.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Bache memutuskan demikian selepas menolak permohonan Siti Bainun selaku pemohon selain meneliti secara terperinci hujahan dan afidavit yang dikemukakan kedua-dua pihak sebelum ini.

Dalam penghakimannya, hakim itu berkata, alasan yang dikemukakan Siti Bainun untuk menangguhkan hukuman penjara antaranya faktor kesihatan, tanggungjawab dan jantina adalah tidak mempunyai merit.

Selanjutnya hakim itu berkata faktor pemohon merupakan seorang wanita bukanlah suatu keadaan istimewa yang mewajarkan untuknya menangguhkan hukuman penjara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI