fbpx

Malaysia ada kepakaran bina bot elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTHONY (tengah) merasmikan Majlis Pelancaran Bot Hydroglyder di Batu Berendam, Melaka, hari ini. - foto SYAFEEQ AHMAD/KOSMO!

MELAKA – Malaysia kini mempunyai kepakaran dalam pembuatan bot Hydroglyder berkuasa elektrik yang diusahakan syarikat tempatan di Batu Berendam di sini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, walaupun bot Hydroglyder itu dibina khusus bagi industri maritim Singapura, namun ia adalah peluang besar bagi negara untuk menerokai penyelesaian dalam teknologi hijau.

Menurutnya, meskipun prototaip bot itu direka bentuk bagi mengangkut kru pelabuhan di Singapura, namun ia dijangka mampu dimanfaatkan dalam pasaran tempatan pada masa hadapan.

“Malaysia sudah ada kepakaran terutama daripada segi reka bentuk dan kejuruteraan membina bot elektrik dan ini satu inovasi yang cukup baik bagi merendahkan penggunaan karbon.

“Pada masa hadapan ia juga boleh digunakan untuk mengangkut penumpang khususnya di beberapa pulau peranginan seperti Pulau Langkawi, Pulau Tioman, Pulau Perhentian dan sebagainya,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Bot Hydroglyder di Batu Berendam hari ini.

Tambah Anthony, usaha inovasi syarikat Yinson GreenTech dan CTruk Boats Shipyard itu bertujuan membangunkan teknologi termaju dan mampan dengan karbon sifar.

Menurutnya, menjelang 2050 peraturan antarabangsa menetapkan bahawa, kenderaan tidak lagi boleh melepaskan karbon dan menggunakan bahan bakar lebih mampan.

“Saya menggalakkan lebih banyak dialog dan perkongsian dalam sektor maritim sebagai usaha memantapkan sistem pengangkutan bersepadu yang cekap, selamat dan mampan.

“Pemasangan dan pembinaan prototaip Hydroglyder ini juga menunjukkan keupayaan negara untuk menyampaikan projek kejuruteraan bertaraf dunia dan berteknologi maju,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI