fbpx

Aria gadis ‘gamer’ bergelar hafizah al-Quran 30 juzuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Atelet e-sukan, Aria meraih pingat gangsa bagi acara Mobile Legends Wanita pada Sukan Sea Kemboja 2023.

BAKAT luar biasa dimiliki gadis genit ini bukan calang-calang.

Bukan sahaja hebat bermain sukan elektronik (e-sukan), Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), namun Sharifah Alia Husna Syed Fakrurrozi sebenarnya seorang hafizah yang telah menghafal 30 juzuk al-Quran pada usia 14 tahun.

Lebih membanggakan, pemenang pingat gangsa acara Mobile Legends Wanita pada Sukan Sea Kemboja 2023 itu merupakan penuntut Diploma Pengajian Perniagaan di Kolej Profesional Mara, Beranang, Selangor.

Tidak sekadar hebat dalam sukan, tetapi dia juga bijak dalam pelajaran apabila berjaya memperolehi purata nilai gred (GPA) 4.0 selama lima semester berturut-turut.

Berkongsi pengalaman mengenai pembabitannya dalam sukan Mobile Legend, bekas pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Sri Al Amin, Bangi itu berkata, dia mula terlibat dengan e-sukan pada usia 16 tahun.

Pada mulanya, dia mengikut abangnya bermain permainan tersebut.

Selepas bakatnya berjaya dihidu, dia yang mesra disapa Aria mendapat sokongan keluarga untuk mula melibatkan diri secara aktif dan menyertai banyak kejohanan.

“Ketika tingkatan empat saya hanya bermain Mobile Legends bersama abang untuk suka-suka, tapi lama-kelamaan bertukar menjadi hobi.

“Kemudian, saya mula memasuki pertandingan kecil-kecilan. Walaupun selalu kalah awal dalam permainan, namun saya tak pernah putus asa untuk timba pengalaman lebih banyak sebelum berjumpa dengan jurulatih Team Haq Esport Club (THQ).

“Minat saya dalam sukan ini lebih berkembang sebab seronok dan ada orang boleh ajar kita jadi lebih mahir.

“Pada masa sama, saya dapat berjumpa kawan-kawan baharu,” katanya kepada iGen.

ARIA (tengah) berjaya membuktikan golongan wanita Muslimah juga boleh berjaya dalam bidang e-sukan.

Mengulas mengenai penglibatannya dalam e-sukan, gadis berusia 20 tahun itu berpendapat, tidak ada salahnya untuk anak muda melibatkan diri dalam sukan berkenaan.

Malah katanya, sekiranya seseorang itu membahagikan masa dengan bijak, ia mampu memberi impak positif kepada individu berkenaan.

“Pada pendapat saya, walaupun perempuan, namun tidak semestinya kita boleh pandang rendah pada e-sukan.

“Sebenarnya, banyak manfaat apabila kita bermain permainan elektronik.

“Misalnya, dapat meningkatkan fokus, pengendalian masa dan boleh jadi lebih berdisiplin.

“Sudah pasti setiap perkara ada kelebihan dan kelemahannya tersendiri.

“Selagi kita berjaya seimbangkan ukhrawi dengan duniawi, saya rasa ia tidak menjadi masalah atau isu.

“Namun, kita perlu sentiasa ingat Allah SWT dan melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang umat Islam,” ujarnya.

Asyraf Wajdi selaku Pengerusi Mara melihat pingat gangsa yang dimenangi Aria dalam satu majlis Mara baru-baru ini.

Bercerita mengenai kecemerlangan diperolehnya pada setiap semester, dia yang kini berada di tahun akhir pengajian bersyukur dapat membahagikan masa dengan baik antara pelajaran dengan sukan.

“Biasanya, waktu pagi saya akan memberi fokus kepada kelas.

“Sebelah petang pula, saya ambil masa untuk mengaji al-Quran sebelum memulakan latihan e-sukan pada waktu malam.

“Walaupun sibuk bertanding e-sukan, saya tak pernah abaikan pelajaran,” katanya yang dalam perancangan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya selepas ini.

Mengakhiri perkongsian, Aria berharap lebih ramai golongan muda terutamanya wanita menceburi bidang e-sukan sepertinya.

Ujarnya, usaha tersebut diharap dapat memajukan lagi industri e-sukan di Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI