fbpx
SANJNA SURi buayt pertama meraikan Deepavali jauh daripada keluarganya.

Sanjna Suri raikan Deepavali lawat Al Ula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP kali tibanya sambutan Deepavali, pelakon yang sedang meningkat naik Sanjna Suri pasti berasa teruja kerana itulah masanya dia dapat berkumpul bersama keluarga besar.

Namun begitu, tahun ini rutinnya sedikit berbeza apabila memilih untuk bercuti di Arab Saudi pada perayaan Deepavali.

“Tahun ini adalah kali pertama saya tidak meraikan Deepavali bersama keluarga di Malaysia kerana saya akan bercuti ke Arab Saudi dan melawat Riyadh serta Al Ula.

“Saya akan melawat rakan-rakan di sana. Keluarga pun memahami kerana inilah masa untuk saya bercuti. Tetapi itu tidak bermaksud saya tidak meraikan Deepavali.

“Sambutan Deepavali tetap berjalan seperti biasa cuma cara dan suasana sedikit berbeza kerana berada di luar negara,” kongsi model jelita itu lagi.

Ditebak apakah keistimewaan perayaan pesta cahaya buat dirinya, wanita berusia 30 tahun itu mendedahkan Deepavali bermaksud tahun baharu buat masyarakat beragama Hindu.

TAHUN ini, rutin perayaan Sanjna berbeza apabila memilih untuk bercuti di Arab Saudi, melawat Riyad dan kota Al-Ula pada perayaan Deepavali. – Foto MUHAMMAD IQBAL ROSLI

Justeru, Deepavali bukan sekadar pesta untuk berkumpul bersama sanak-saudara tetapi sebagai hari yang istimewa untuk berdoa bagi kesejahteraan seisi keluarga.

“Sudah menjadi tradisi kami sekeluarga akan ke kuil pada sebelah pagi untuk berdoa dan memohon perkara yang baik-baik sempena tahun baharu.

“Selepas itu, barulah kami akan berkunjung ke rumah saudara-mara. Bahagian paling seronok adalah menerima angpau atau duit raya.

“Bagi kami, orang yang berkahwin akan beri angpau pada mereka yang belum berkahwin. Tetapi untuk saya rasa agak janggal untuk terima duit raya pada usia 30 tahun. Saya hanya dua beradik, adik perempuan telah berkahwin, jadi dia akan akan beri saya duit raya,” tuturnya seraya ketawa.

Sanjna dan keluarga akan bercuti ke Arab Saudi termasuk melawakt kota dilaknat, Al Ula.

Kerinduan

Menyambung bicara tentang sambutan Deepavali, bekas ratu cantik itu berkata, momen yang tidak dapat dilupakan dan paling dirindui adalah bersama mendiang datuk dan neneknya.

Kata pelakon filem Pulau itu, suasana Deepavali lebih meriah ketika datuk dan neneknya masih hidup.

“Keluarga saya berasal dari India Utara, saya masih ingat ketika nenek masih ada, dia akan masak makanan yang sangat asli mengikut resipi dari India.

“Air tangan nenek memang lain, rasanya itulah perkara yang paling saya rindu selain mendengar celoteh dan kekecohan nenek pada pagi Deepavali.

“Rasanya sambutan mana-mana perayaan memang lebih ‘hidup’ apabila ada orang tua terutama datuk dan nenek. Sebab semua keluarga akan berkumpul setempat. Sekarang agak berbeza kerana masing-masing akan buat rumah terbuka,” kongsi Sanjna.

Selain itu, bahagian yang paling penting pada sambutan Deepavali adalah menyalakan lampu minyak atau diya pada waktu malam.

“Sebab itu Deepavali dipanggil pesta cahaya. Kami akan memasang diya pada waktu malam dan diletakkan di keliling rumah.

“Sama seperti pelita ketika hari raya, tetapi diya adalah satu kewajipan untuk kami. Tidak hanya nampak cantik dan meriah, diya juga simbolik kepada kekayaan, kesejahteraan dan perlindungan daripada perkara yang tidak baik,” tutur Sanjna.

Sanjna percaya suatu hari nanti kerjaya seni lakonannya akan bersinar dengan penuh kemilau.

Semakin dikenali

Berbicara tentang kerjaya seninya, Sanjna yang sebelum ini bekerja sebagai ahli farmasi di sebuah hospital bersyukur bakatnya mula mendapat kepercayaan ramai.

Terutama selepas muncul dalam program realiti, Mega Spontan 2023 khalayak mula melihat Sanjna daripada sisi yang berbeza.

Tidak lagi dipandang hanya sebagai bekas ratu cantik, bakat lakonan pemenang pemenang Miss Intercontinental Malaysia 2017 dan Miss Supranational Malaysia 2018 itu dipandang serius.

“Jujur saya sangat gembira orang sudah mula memandang saya dengan sisi yang berbeza. Sekarang saya tidak lagi hanya diberi watak penyondol sebab rupa paras, tetapi watak-watak berbeza dan lebih mencabar.

“Sebagai pelakon, saya terbuka menerima sebarang watak termasuklah watak yang memerlukan saya kelihatan hodoh.

“Saya belum lagi berada di tahap layak untuk memilih watak, sebaliknya menerima sebarang watak yang diberikan. Bagi saya apa yang lebih penting adalah kesedaran kepada orang ramai tentang kewujudan Sanjna Suri dalam industri seni,” luahnya lagi.

Tambah Sanjna yang mula berlakon sejak 2018, sudah begitu banyak pengorbanan yang dilakukan semata-mata mengejar impiannya untuk bergelar anak seni.

Justeru, Sanjna mengharapkan dia berada di laluan yang tepat agar pengorbanan dan masa yang dihabiskan tidak sia-sia.

“Saya sanggup berhenti kerja sebagai ahli farmasi, begitu tahap serius dan komitmen yang sanggup saya berikan untuk menjadi pelakon.

“Jadi, saya bukan sekadar suka-suka untuk berlakon. Diharap pada masa akan datang saya akan diberi lebih banyak peluang memegang pelbagai watak mencabar terutama watak aksi,” kata Sanjna penuh harapan.

Terbaharu, Sanjna bakal terlibat dalam naskhah pertama terbitan Fazura Pictures iaitu telefilem Latah Fighter lakonan bersama Fattah Amin dan Amir Raja Lawak.

Kata Sanjna, sambutan Deepavali kini terasa sunyi tanpa keberadaan mendiang nenek dan datuknya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN