fbpx

Buli MCKK: Kertas siasatan sudah dirujuk ke Pejabat AGC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

IPOH – Kertas siasatan kes buli didakwa melibatkan pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) telah pun diserahkan ke Pejabat Peguam Negara (AGC) kelmarin.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, setakat ini, beberapa arahan khusus telah diberikan AGC kepada pihak polis bagi melengkapkan lagi siasatan kes berkenaan.

“Antara arahan yang diterima adalah berkaitan laporan penuh perubatan mangsa. Tindakan sedang diambil oleh pegawai penyiasat berkaitan arahan tersebut.

“Kertas siasatan akan dirujuk semula kepada AGC dalam masa terdekat setelah laporan diperolehi dan semua tindakan diambil,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd. Yusri berkata, kertas siasatan kes itu telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya pada Isnin lalu untuk cadangan pertuduhan.

Isu berkaitan buli di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar itu tular berikutan hantaran dimuatnaik di laman Instagram yang memaparkan seorang lelaki dipercayai pelajar sekolah dimasukkan ke hospital dipercayai dibuli pelajar senior.

Turut tular sepucuk surat rayuan terhadap keputusan hukuman disiplin terhadap pelaku yang hanya diminta berkelakuan baik, dirotan dan membuat kerja amal di sekolah.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob dalam kenyataannya sebelum ini berkata, laporan kejadian buli itu diterima pada 24 September lalu sekitar pukul 10.05 pagi di mana tiga pelajar lelaki tingkatan empat dikatakan telah dipukul pelajar tingkatan lima seramai empat orang.

Menurut beliau, mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan lanjut dan hasil pemeriksaan ‘normal physical finding mengesahkan mangsa tidak mengalami kecederaan parah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI