PUTRAJAYA – Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah meminta agar orang ramai tidak tertipu dengan sebuah video mempromosikan iklan ubat kencing manis membabitkan dirinya di media sosial.
Dr. Noor Hisham berkata, rakaman video itu adalah palsu dan dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab menggunakan iklan ‘deepfake’ yang dibuat menggunakan kecerdasan buatan (AI).
“Kepada semua netizen, pastikan anda tidak tertipu dengan iklan Deepfake, iklan yang tidak bertanggungjawab menggunakan suara saya dan video untuk promosi ubat kencing manis yang palsu.
“Akaun tersebut juga palsu. Sila maklum dan uar-uarkan kepada semua supaya kita tidak tertipu dengan AI dan deepfake,” katanya dalam catatan di akaun Facebooknya hari ini.
Dalam rakaman video itu, suara Dr. Noor Hisham dialihkan untuk mempromosikan iklan itu, tetapi menggunakan rakaman video asal beliau ketika Simposium Hepatitis Kebangsaan di Kuala Lumpur pada tahun 2018.
Video palsu itu dimuat naik pada 26 Oktober lalu yang masih boleh diakses sehingga kini dengan meminta pengguna media sosial memetik pautan yang disertakan bagi mengetahui lebih lanjut berhubung rawatan kencing manis. – KOSMO! ONLINE.