fbpx

[VIDEO] Perompak larikan emas RM1.4 juta tepi jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANGKAP layar kejadian rompakan berhampiran sebuah kedai emas di pekan Kuala Kangsar hari ini.

KUALA KANGSAR – Dua jurujual syarikat emas berdepan detik cemas apabila barangan kemas bernilai RM1.4 juta yang dibawa mereka dirompak sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dan tukul.

Kejadian sekitar pukul 11.22 pagi itu berlaku di kawasan tempat letak kenderaan berhampiran sebuah kedai emas di pekan Kuala Kangsar dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kejadian berlaku ketika dua lelaki berusia lingkungan lewat 30-an itu baru sahaja keluar dari kereta selepas meletakkan kenderaan di petak parkir.

Katanya, beberapa lelaki yang memakai sarung muka telah menyerbu mangsa dan bertindak agresif dengan memecahkan cermin kereta bagi mendapatkan barang kemas di dalam kenderaan tersebut.

“Kejadian berlaku ketika mangsa mahu menghantar barang kemas ke kedai sebelum cermin kereta dinaiki mereka dipecahkan suspek bagi mendapatkan barang kemas bernilai RM1.4 juta.

“Dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, usaha mengesan kesemua suspek sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta membantu siasatan dengan menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar, Asisten Superintendan Mohd. Subkey Alias di talian 013-9285436 atau 05-7762222,” katanya.

Terdahulu tular di media sosial X, satu rakaman video berdurasi 21 saat yang memaparkan sekumpulan lelaki berpakaian serba hitam dan sarung muka melarikan beberapa beg mengandungi barang kemas dari kereta mangsa.

Video yang dirakam oleh orang awam itu menunjukkan suspek melarikan diri menggunakan dua kenderaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI