fbpx

UMPSA mula guna kenderaan elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELARAS dengan agenda hijau negara, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melancarkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) dalam memanfaatkan teknologi dan inovasi untuk kebaikan masa hadapan.

Pelancaran tersebut juga dapat meng­aplikasikan teknologi dan mengamalkan gaya hidup lebih baik dengan mengurangkan pembebasan karbon yang bakal memberi penyelesaian inovasi kepada industri tenaga.

Menerusi inisiatif tersebut, dua bas elektrik dan dua van elektrik dengan stesen pengisian EV diperkenalkan di UMPSA bagi menggalakkan penggunaan karbon rendah serta kenderaan pintar yang cekap tenaga.

Menurut Naib Canselor UMPSA, Prof. Datuk Ts Dr. Yuserrie Zainuddin, UMPSA kini telah mencapai kemajuan yang memberangsangkan dalam usaha memperkasakan amalan lestari melalui pelbagai program universiti yang dilaksanakan.

“Dalam usaha mencapai Matlamat Pembangunan Kampus Lestari menerusi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 5C(2) dalam Pelan Strategik UMPSA 2021-2025 telah berjaya mencapai sasaran kemajuan pembangunan kampus lestari sebanyak 86.8 peratus (%) pada suku ketiga tahun ini, ia melebihi sasaran ditetapkan iaitu 78%. Ini menunjukkan komitmen UMPSA dalam membangunan kampus yang lestari dan mampan,” katanya.

Jelasnya, inisiatif kampus lestari akan dirancakkan lagi dengan pelbagai aktiviti seperti penanaman pokok, penjimatan tenaga dan sumber serta pengurangan karbon di dalam UMPSA.

Inisiatif tersebut adalah selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG) yang ditetapkan pihak kerajaan.

Yuserrie berkata demikian pada acara penyerahan replika kunci kenderaan elek­trik yang disampaikan oleh Pengarah Eksekutif Go Automobile Manufacturing Sdn. Bhd., Wan Ahmad Wan Omar kepadanya.

Turut hadir menyaksikan acara penye­rahan replika itu ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di pekarangan parkir Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya.

Pada masa sama, UMPSA aktif me­laksanakan kempen kelestarian bagi meningkatkan kesedaran warga kampus supaya sentiasa menjaga alam sekitar seiring merealisasikan hasrat universiti ke arah kampus lestari.

Tambah Yuserrie, terdapat lapan kempen inisiatif kelestarian yang telah dilaksanakan iaitu ‘Minum Air Kosong dan Bawa Botol Air Sendiri’, ‘Jom Tapau: Bawa Bekas Sendiri’, ‘Hijaukan Alam Sekitar’, ‘Hari Kitar Semula UMP: Mengurangkan Pembaziran’, ‘Satu Langkah Pada Satu Masa’ dan ‘Gaya Hidup Sihat: Pilih Kesejahteraan Setiap Hari’.
Lain-lain inisiatif adalah ‘Pengasingan Sisa Organik: Pengkomposan untuk Masa Depan Lebih Hijau’, ‘Go Hijau: Tukar Sisa Anda Menjadi Sumber Mampan’ dan ‘Kenderaan Bebas Karbon: Amalan Lestari di Jalan Raya’.

Katanya, UMPSA turut tersenarai pada kedudukan ke-103 terbaik dunia dalam Penarafan UI-Green Metric World University Ranking 2022. Penarafan tersebut berdasarkan usaha kelestarian kampus hijau serta pengurusan alam sekitar dilakukan oleh pihak universiti

Penarafan kelestarian lain termasuklah 2023 QS World University Rankings Sustainability (401- 450) dan 2023 Times Higher Education (THE) Impact Rankings (301-400).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI