fbpx

‘Tunggu masa murid dipatuk ular, ‘dikokak’ monyet’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEGINILAH keadaan kawasan tanah yang terbiar bersebelahan Sekolah Rendah Agama Rakyat Al-Khairiah, Kampung Sitiawan di Manjung.

MANJUNG – Sebidang tanah terbiar sejak lebih 10 tahun lalu yang terletak di sebelah Sekolah Rendah Agama Rakyat Al-Khairiah, Kampung Sitiawan, di sini kini menjadi sarang ular, biawak dan monyet.

Keadaan itu membuatkan ibu bapa dan pelajar bimbang keselamatan mereka terancam de­ngan haiwan berbisa yang memasuki kawasan sekolah.

Seorang bapa, Mohd. Zaidi Shamsul Anwar, 36, berkata, difahamkan tuan tanah itu telah dihubungi pihak pengurusan sekolah bagi membantu menyelesaikan isu tersebut, namun sehingga kini keadaan kawasan tersebut masih sama.

“Terdapat sebuah rumah di dalam tanah itu yang dahulunya disewakan kepada orang ramai, tetapi ia juga telah lama ditinggalkan iaitu kira-kira lima tahun lalu,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Mohd. Noh Adnan, 41, pula berkata, dia pernah melihat kelibat ular besar di pekarangan sekolah agama itu, namun beredar sebaik disedari orang ramai.

Ujarnya, biawak juga kadangkala dilihat berkeliaran di pekarangan sekolah, sekali gus me­nimbulkan kebimbangan ibu bapa mengenai aspek keselamatan ketika anak-anak mereka berada di sekolah itu.

“Monyet pun jadi satu masalah juga kerana ada kala­nya menyelongkar tong sampah dan me­ngotorkan kawasan sekitar. Bukan itu sahaja, ada dalam kalangan guru sekolah pernah dikejar haiwan itu,” katanya.

Menurut Aisyah Ali, 39, monyet juga pernah memasuki bilik darjah melalui tingkap ketika ketiadaan pelajar dan turut menyepahkan buku serta penyapu.

“Disebabkan itu, pihak sekolah terpaksa memasang gril tingkap selain jaring di sepanjang bangunan sekolah bersebelahan tanah terbiar itu bagi mengelakkan daun memasuki sekolah.

“Buah mempelam dari ta­nah terbiar itu juga luruh ke kawasan sekolah, dengan ada daripada­nya menjadi makanan haiwan-haiwan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, cubaan Kosmo! untuk menghubungi pemilik tanah bagi mendapatkan penjelasan tidak membuahkan hasil apabila panggilan dibuat tidak dijawab. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI