fbpx

Pemimpin utama negara Islam bakal bertemu, bincang krisis di Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar bercakap pada Perjumpaan Bersama Warga JPM di Putrajaya hari ini. - Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR / KOSMO!

PUTRAJAYA – Beberapa pemimpin utama negara Islam bersetuju mengadakan pertemuan dalam masa terdekat bagi membincangkan konflik tercetus antara Israel dan Palestin termasuk situasi kemanusiaan di Gaza hingga mengorbankan ribuan nyawa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah menghubungi pemimpin negara Arab termasuk Turkiye dan Iran bagi mengadakan perbincangan susulan tindakan berterusan Israel mengembangkan wilayahnya setiap tahun dengan menggunakan alasan Hamas.

“Jadi, kita telah hubungi pemimpin Arab termasuk Turkiye dan Iran untuk mengadakan perbincangan antara kami.

“Mulanya, saya juga usulkan jangan hanya dalam kalangan pemimpin Islam kerana Brazil, Ireland, Rusia, China dan Bolivia juga mempunyai pendirian untuk pertahan hak kemanusian.

“Tetapi, apabila berbincang di mana keputusan itu kita bincang dengan Putera Mohammed Bin Salman dan Recep Tayyip Erdogan, ialah mengadakan dalam tempoh segera untuk pertemukan pemimpin negara Islam,” katanya ketika perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini tadi.

Dalam masa sama, Anwar juga menyifatkan konflik tercetus di Palestin menterjemahkan situasi positif apabila insiden kemanusiaan itu dibahas secara terbuka di dunia barat seperti penganjuran perhimpunan atau tunjuk perasaan.

Katanya, Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte dalam satu pertemuan dengan beliau baru-baru ini turut menjelaskan keadaan di mana sokongan rakyat negara itu kepada Palestin terus meningkat sejak dua minggu lalu.

“Dalam pertemuan empat mata itu, saya luahkan kepada Mark Rutte bahawa pandangan beliau lebih demokratik dan prihatin dengan kemanusian, jadi janganlah umpamanya memilih untuk prasangka bersatu kaum.

“Beliau mahu menyokong Israel itu haknya, tapi janganlah kejam kepada Palestin. Tetapi, perkara menarik dia jelaskan ialah di peringkat permulaan serangan, dua per tiga rakyat Belanda pro Israel, namun dua minggu lalu, dua per tiga secara terbuka nyatakan sokongan kepada Pelestin.

“Jadi, kita sedaya upaya dalam perbincangan itu sampaikan dengan baik dan minta beliau untuk sampaikan kepada pemimpin Eropah lain juga (soal konflik Palestin-Israel),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI