fbpx

Malaysia yakin FDI Jepun melebihi RM30 bilion – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (kanan) ketika meraikan ketibaan Fumio Kishida (kiri) di Seri Perdana hari ini. FOTO PMO

PUTRAJAYA – Malaysia melahirkan keyakinan terhadap jumlah pelaburan langsung asing (FDI) dari Jepun yang melebihi RM30 bilion pada tahun ini dalam usaha mengukuhkan kerjasama ekonomi dua hala terutama dalam bidang perdagangan dan pelaburan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia adalah satu petanda menggalakkan tentang keyakinan berterusan pelabur negara matahari terbit itu sekali gus mengalu-alukan lebih banyak FDI ke negara ini.

Perkara itu disampaikan ketika perbincangan bersama rakan sejawatnya, Fumio Kishida semasa lawatan Perdana Menteri Jepun itu ke Malaysia hari ini.

Ia bagi memperbaharui kerjasama pelbagai bidang termasuk perindustrian pembangunan, kapasiti bangunan, pelancongan, pendidikan dan pertukaran budaya sains dan teknologi.

“Pada tahun lalu, kedua-dua negara bersetuju untuk memartabatkan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategi Komprehensif (CSP). Dalam hal ini, kami komited untuk memuktamadkan butiran perkongsian baharu ini.

“Saya yakin hubungan kerjasama ini akan membawa hubungan ke tahap lebih tinggi (demi kemajuan kedua-dua negara),” katanya ketika menyampaikan kenyataan bersama Malaysia dan Jepun di Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan dua mata dan mengadakan perbincangan dua hala antara delegasi Malaysia dan Jepun.

Ia turut melibatkan proses menandatangani Memorandum Kerjasama dalam Bidang Informasi dan Komunikasi antara Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia dengan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun.

Dalam pada itu, Anwar turut menghargai komitmen berterusan Jepun ke arah penubuhan cawagan kampus Universiti Tsukuba di Malaysia sekali gus membolehkan lebih ramai pelajar Malaysia mendapat akses sistem pendidikan berkualiti tinggi Jepun.

Selain itu, beliau turut membangkitkan hasrat Malaysia untuk melihat satu lagi penubuhan universiti terkemuka di Jepun iaitu Universiti Waseda, yang banyak melahirkan tokoh-tokoh di negara ini termasuk Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI