fbpx
Gambar hiasan.

Untung bertahun, diboikot sebulan terus buang pekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GERAKAN memboikot produk keluaran Israel termasuklah jenama antarabangsa yang memberi sokongan kepada negara tersebut kali ini dilihat sangat serius susulan konflik yang berlaku membabitkan Palestin.

Sebagai masyarakat yang menganut agama Islam, boikot adalah salah satu cara bersolidariti dan sokongan pada saudara seagama kita yang dibantai berterusan jauh di negara arab sana oleh rejim Zionis.

Bagaimanapun, penulis terkesan beberapa hantaran di media sosial membabitkan pekerja-pekerja yang terdiri daripada golongan rakyat tempatan serta orang kelainan upaya yang membuat pendedahan seolah-olah mereka dihukum dalam isu ini.

Apa tidaknya, ada antara mereka yang menyatakan tindakan telah dikenakan terhadap mereka seperti dibuang kerja, diberi cuti tanpa gaji, potongan gaji, jam kerja dipotong atas alasan diboikot dalam tempoh satu bulan ini.

Persoalan timbul bagaimana kerugian dalam tempoh satu bulan sahaja, pelbagai langkah drastik dilepaskan terhadap pekerja oleh pihak majikan.

Sedangkan keuntungan dalam tempoh sembilan ke 10 bulan sebelum telah merekodkan keuntungan yang mencanak-canak jika dibandingkan kerugian satu bulan yang ditanggung.

Sehubungan itu, Pengarah Advokasi Khidmat Guam Mahmud Jumaat berkata, sebagai pekerja terdapat hak yang boleh dituntut dan bukan hanya mengikut te­lunjuk majikan.

Katanya, perkara ini terpakai buat mereka berstatus lantikan tetap serta jawatan yang diisi itu disertakan dengan kontrak perjanjian atau surat pelantikan.

“Kita perlu lihat semula terma dan syarat sebagai pekerja, sebagai contoh pekerja sepenuh masa tidak boleh sewenang-wenang­nya dipotong gaji atau pecat. Ini tidak adil bagi pihak pekerja sebab sebelum ini majikan dapat keuntungan yang sangat tinggi.

“Disebabkan kerugian bagi tempoh sebulan pekerja dibuang, dipotong elaun, diturunkan pangkat, tindakan ini semua terlalu drastik. Majikan seharusnya berbincang dahulu dan pihak pekerja, mereka perlu setuju dahulu sebelum tindakan diambil,” katanya.

Mengulas lanjut, Mahmud berkata, majikan perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan bukan mengambil langkah ‘menghukum’ pekerja sesuka hati dan menjadi modal kasihan dalam isu ini.

Katanya, syarikat induk perlu mengambil langkah neutral dan tidak memihak kepada sesiapa dalam isu politik mahupun perang.

“Mereka (syarikat induk) perlu neutral, sekarang bila mereka memihak kepada Israel, syarikat yang berada di negara Islam akan mengamuk dan kerugian mula berlaku.

“Perlu ada tanggungjawab korporat yang mana isu boikot ini masalah yang perlu ditanggung mereka di peringkat atasan, mengapa perlu menekan mereka yang hanya gaji sekitar RM2,000 hingga RM3,000 ini,” katanya.

Jelas Mahmud, mana-mana pekerja yang terkesan perlu mendapatkan rujukan daripada Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) bagi mendapatkan advokasi dan nasihat sekiranya ada perlanggaran kontrak dan sebagainya.

“Di JPP anda boleh terima nasihat sekiranya ada pelanggaran undang-undang membabitkan majikan sekiranya ada yang terkesan dalam situasi ini,” katanya.

Bagi penulis, memboikot semua produk dan syarikat yang dikatakan memberi sumbangan ke atas ekonomi Israel termasuk tentera Zionis adala usaha kapasiti sendiri demi solidariti terhadap rakyat Palestin.

Buat pekerja yang terkesan dengan situasi yang tidak terduga ini, diharap mendapatkan keadilan sewajarnya sekiranya ada unsur penindasan dilakukan.

Apa yang diharapkan ialah agar tindakan boikot itu hendaklah secara tepat dan berdasarkan kepada fakta bukan andaian dan ikutan semata-mata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN