fbpx

Tengku Hassanal berangkat hadiri Festival Warisan dan Pelancongan Melaka-Pahang 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TENGKU HASSANAL bersama Mohd. Ali pada Festival Warisan dan Pelancongan Melaka-Pahang 2023 di Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka.

MELAKA – Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Tengku Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Bilah Shah mencemar duli menghadiri Festival Warisan dan Pelancongan Melaka-Pahang 2023 di Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka, Banda Hilir di sini, malam tadi.

Keberangkatan tiba Tengku Hassanal kira-kira pukul 8.45 malam disambut Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dan isteri Toh Puan Asmah Ab. Rahman diiringi paluan rebana dan persembahan silat.

Turut mengiringi keberangkatan baginda ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Sejurus selepas itu baginda turut menyaksikan persembahan kebudayaan dan nyanyian daripada kedua-dua negeri melalui Institut Warisan Melaka, Briged Seni Melaka, Badan Kebudayaan dan Kesenian Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dan Kumpulan Kesenian Negeri Pahang.

Ab. Rauf dalam ucapannya berkata, program silang budaya antara kedua-dua negeri itu diadakan bersempena dengan Program Menjunjung Kasih Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menurutnya, majlis itu diadakan adalah manifestasi penghargaan yang setulusnya daripada rakyat negeri ini terhadap baginda yang akan menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Ke-16 pada Januari tahun depan.

“Penganjuran festival ini juga sebagai citra junjungan kasih patik serta sekalian rakyat Melaka terhadap kebijaksanaan, kecaknaan dan keprihatinan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong sepanjang pemerintahan baginda yang sentiasa berjiwa rakyat dan menjadi sanjungan seluruh lapisan rakyat jelata.

“Bagi pihak kerajaan negeri dan rakyat Melaka, kami berasa bertuah dan amat bangga terhadap kebijaksanaan dan kewibawaan baginda sebagai seorang Raja apabila berjaya menyelesaikan banyak perihal membabitkan pentadbiran Kerajaan Persekutuan sepanjang tempoh pemerintahan.

“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku juga bukan sahaja dikenali sebagai seorang Raja yang sangat berjiwa rakyat, malah amat prihatin dalam memayungi usaha-usaha kebajikan dan kesejahteraan terhadap seluruh rakyat jelata,” ujarnya.

Terdahulu Wan Rosdy dalam ucapannya pula berkata, festival tersebut merupakan satu program yang amat bermakna, di mana ia secara langsung memberi peluang kepada kedua-dua negeri untuk menyatukan kekayaan warisan budaya yang melibatkan kesenian, tarian tradisional, muzik dan juga makanan. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI