SUDAH hampir sembilan tahun, wanita itu ditugaskan sebagai pengawal di Muzium Diraja Kedah yang terletak di bandar raya Alor Setar, Kedah.
Muzium yang pernah menjadi pusat pemerintahan Kedah selama 288 tahun itu tidak lekang daripada kunjungan pengunjung dari dalam dan luar negara.
Menurut Aminah Hussain, 63, kebanyakan pengunjung dari Thailand datang untuk melihat songkok berhias bulu burung cenderawasih milik Sultan Kedah ke-26, Sultan Abdul Hamid Halim Shah.
Songkok berkenaan bersama persalinan serta pedang merupakan salah satu anugerah daripada Raja Thailand, Raja Chulalongkorn kepada baginda ketika menerima Darjah Kebesaran Gajah Putih Kelas Pertama pada 1895.
Katanya lagi, anugerah tersebut didatangi bersama gelaran Chao Phya Saiburi dan gelaran tambahan, Phya Riddisongkram Ramabhakti.
“Kedah merupakan negeri di bawah lindungan Siam pada tahun-tahun akhir abad ke-19. Oleh itu, masyarakat Thailand berasa dekat dengan Kesultanan Kedah.
“Ramai juga pengunjung dari Thailand mahu melihat sendiri songkok berhias bulu burung cenderawasih yang sangat sukar ditemui,” terangnya kepada K2 ketika ditemui di muzium berkenaan.
Muzium Diraja Kedah merupakan antara lokasi yang diperkenalkan oleh Tourism Malaysia dalam usaha merancakkan industri pelancongan negara.
Berdasarkan catatan sejarah, Muzium Diraja Kedah pada asalnya merupakan Istana Kota Setar yang dibina oleh Sultan Kedah ke-19, Almarhum Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Muazzam Shah II pada tahun 1735.
Istana yang diperbuat daripada kayu tersebut pernah beberapa kali mengalami kerosakan akibat serangan tentera Bugis pada 1770 dan tentera Siam pada tahun 1821.

Bangunan yang terbiar selepas pendudukan tentera Siam selama 21 tahun diubah suai oleh Sultan Kedah ke-24, Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah pada 1856.
Pada ketika itu, istana dibina semula mengikut reka bentuk asal dengan menggunakan putih telur dan madu lebah sebagai pengikat batu.
Teknik pembuatan itu membuatkan Istana Setar menjadi seni bina pertama di Kedah yang memiliki pengaruh Melayu, Siam dan Barat.
Istana tersebut turut dikenali sebagai Istana Mak Wan Besar sempena nama isteri sultan iaitu Almarhumah Paduka Wan Hajar.
Sayap baharu telah dibina untuk majlis perkahwinan diraja ketika pemerintahan Sultan kedah ke-26, Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Syah pada 1900.
Lima perkahwinan diraja anakanda diadakan secara gilang-gemilang sehingga istana tersebut mendapat nama baharu iaitu Istana Pelamin.
Menurut Ketua Unit Muzium Diraja Kedah, Mahyuddin Osman, 39, galeri pameran dibahagikan kepada lebih daripada 10 bahagian.
“Perkara pertama yang para pelawat akan temui adalah keterangan mengenai sejarah dan salasilah Kesultanan Kedah serta sejarah bangunan muzium.
“Seterusnya pelawat akan melihat replika singgahsana perkahwinan atau pelamin yang didirikan di tempat asal ketika perkahwinan gilang-gemilang pada tahun 1904.
“Seterusnya, terdapat beberapa bilik dan lorong yang menempatkan barangan serta koleksi peribadi kerabat Diraja Kedah,” jelasnya.

Untuk rekod, keluasan keseluruhan kawasan Muzium Diraja Kedah adalah 2,204 meter persegi, manakala bangunan istana berkeluasan 1,470 meter persegi.
Bangunan istana terdiri daripada tiga ruang utama iaitu bahagian hadapan yang merupakan ruang istiadat, bahagian tengah (ruang peribadi) serta ruang lebih rendah (ruang dayang).
Di sekeliling istana pula, terletaknya bangunan pentadbiran, Balai Besar dan sebuah lagi bangunan kediaman iaitu Rumah Pagoda.
Rumah Pagoda merupakan tempat lahirnya Perdana Menteri pertama negara, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, namun kini rumah itu tidak lagi wujud.
Untuk makluman, Tunku Abdul Rahman merupakan anak lelaki ketujuh dan anak ke-20 kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah.
Bondanya, Cik Menyelara, merupakan isteri Sultan Abdul Hamid yang tidak berdarah gahara. Cik Menyelara adalah anak kepada Luang Naraborirak (Kleb), seorang pegawai daerah Thailand.
Tambah Mahyuddin, Tunku Abdul Rahman merupakan generasi diraja terakhir yang membesar di istana tersebut sebelum dijadikan pusat pentadbiran Jepun pada era penjajahan Negara Matahari Terbit itu.
“Istana ini merupakan tempat kelahiran dan membesarnya Tunku Abdul Rahman. Pengunjung berpeluang melihat sendiri bilik Tunku Abdul Rahman ketika beliau tinggal di sini.
“Dalam bilik ini, terdapat beberapa artifak asli milik beliau termasuk surat daripada Setiausaha Agong, Parti Komunis Malaya, Chin Peng yang bertarikh 12 Oktober 1957,” katanya.
Kongsi Mahyuddin lagi, selepas Jepun berundur, istana tersebut pernah digunakan sebagai sekolah dan pejabat beberapa persatuan, termasuk pergerakan St. John dan Persatuan Pengakap sehingga tahun 1980.
Pada 1983, istana itu dibaik pulih sekali lagi dan dijadikan Muzium Diraja Kedah sempena perayaan menyambut Jubli Perak pemerintahan Sultan Kedah ke-28, Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan dirasmikan oleh baginda sendiri pada 25 Julai 1983.
Sehingga kini, muzium tersebut dianggarkan menyimpan hampir 500 barangan koleksi peribadi Kesultanan Kedah termasuk pakaian, perhiasan, perabot, alatan dan pelbagai jenis kenderaan diraja.
“Pelawat juga berpeluang melihat kamar beradu. Katil serta almari yang menghiasi bilik ini adalah milik kerabat Diraja Kedah.
“Manakala katil bayi yang dipamer merupakan milik Tunku Intan Safinaz, anakanda kepada Tuanku Sultan Abdul Halim,” katanya.














