fbpx

Penumpang cemas kereta api langgar 14 ekor lembu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA lembu yang mati akibat dilanggar kereta api di Bera awal pagi tadi.

BERA – Seramai 341 penumpang dan kru Keretapi Express Rakyat Timuran (ERT) berdepan detik cemas apabila kereta api yang dinaiki mereka melanggar 14 ekor lembu yang berkeliaran di laluan kereta api Kilometer (km) 84.5 hingga km 84.7 antara Stesen Bahau, Negeri Sembilan dengan Stesen Triang di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, bagaimanapun kejadian kira-kira pukul 3.10 pagi itu tidak melibatkan kemalangan jiwa atau kecederaan melibatkan penumpang dan kru.

“Akibat pelanggaran itu mengakibatkan kerosakan pada enjin kereta api lapan gerabak itu, namun semua penumpang serta kru selamat.

“Ini adalah kejadian kali kedua berturut-turut. Kami juga menerima laporan, pada 31 Oktober, Express Rakyat Timuran (ERT) yang membawa 400 penumpang dan lima kru juga telah melanggar lima ekor lembu yang berkeliaran di kawasan yang sama, pada pukul 3.15 pagi,” katanya di sini hari ini.

Menurut Zulkiflee, insiden keretapi melanggar lembu kerap berlaku kebelakangan ini yang mengundang bahaya dan risiko kepada penumpang dan kru kereta api.

Beliau turut mencadangkan pihak penguatkuasaan yang berkaitan perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan kejadian yang lebih buruk pada masa akan datang.

“Tindakan penternak membiarkan haiwan peliharaan mereka seperti ini adalah tidak wajar kerana ia membahayakan nyawa orang lain.

“Setakat ini, tiada lagi insiden yang menyebabkan kecederaan atau kehilangan nyawa, tetapi para penternak perlu diberi nasihat serta mengambil tanggungjawab dengan insiden yang berlaku ini,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI