fbpx

Balaci along terima upah RM600, RM1,000 buat khianat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Ahli sindiket ceti haram dikesan menerima upah lumayan RM600 untuk kerja menyimbah cat dan RM1,000 sebagai tugasan melakukan khianat dengan api.

Kegiatan sindiket itu yang aktif sejak Ogos lalu tidak bertahan lama apabila lapan lelaki termasuk seorang remaja ditangkap dalam serbuan di Kota Tinggi, Seri Alam dan Segamat pada 22 hingga 25 Oktober lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia 16 hingga 43 tahun.

Siasatan awal mendapati, mereka diupah sindiket pinjaman wang tanpa lesen untuk membuat ugutan jenayah, simbah cat dan khianat dengan api ke atas individu yang gagal melangsaikan pinjaman.

“Kita berjaya menyelesaikan 45 kes khianat di Johor Bahru, Iskandar Puteri, Kulai, Kluang, Seri Alam, Kota Tinggi, Muar, Pontian, Batu Pahat dan Segamat serta empat kes di Melaka dan satu kes di Negeri Sembilan,” katanya. pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Polis merampas 15 unit telefon bimbit, tong cat merah, tin semburan cat warna hitam, nota ugutan, sarung tangan, topeng muka serta kereta jenis Perodua Bezza, Proton Waja dan Proton Saga.

Modus operandi sindiket itu adalah dengan mengiklankan tawaran pinjaman di Facebook. Setelah mangsa memberi maklumat peribadi seperti akaun bank dan alamat, sindiket along itu akan memasukkan wang ke dalam akaun peminjam tanpa persetujuan.

Ditanya mengenai kes upah ‘samseng’ untuk memalukan mangsa dan keluarganya akibat gagal menuntut hutang di Taman Gunung Lambak, Kluang pada 23 Oktober lalu, beliau berkata, tiga lelaki tersebut diberkas bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI