fbpx

[VIDEO] Pemandu lori sampah cedera dipukul kerana bunyikan hon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar memaparkan suspek memukul mangsa di Jalan Panchang Bedena, Sungai Besar, Sabak Bernam semalam.

SABAK BERNAM – Seorang pemandu lori sampah cedera dipukul lelaki yang berang selepas dihon supaya mengalihkan kenderaannya di Jalan Panchang Bedena, Sungai Besar di sini, semalam.

Kejadian pukul 9.30 pagi itu mengakibatkan mangsa yang juga lelaki berusia 37 tahun cedera di tangan selepas dipercayai dipukul dengan kayu selain turut diugut suspek.

Insiden itu turut tular menerusi video berdurasi 47 saat di laman sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd. Alias berkata, siasatan awal mendapati mangsa sedang memandu lori untuk mengutip sampah di sekitar Panchang Bedena.

Bagaimanapun katanya, laluannya telah dihalang kenderaan suspek sebelum mangsa membunyikan hon supaya dialihkan kenderaan itu.

“Namun secara tiba-tiba suspek bertindak agresif dan memarahi mangsa dengan kata-kata kesat dan mengugutnya. Suspek juga bertindak memukul mangsa menggunakan sebatang kayu,” katanya ketika dihubung hari ini.

Susulan kejadian itu, mangsa yang cedera di tangan telah mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Jemaah dan dibenarkan pulang selepas menerima rawatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324/506 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Farid Sutrisno Tanjung di talian 019-3224855 atau balai polis berdekatan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI