fbpx

Dr. Zulkifli buka bidaan jam Rolex Raja Arab Saudi bermula RM40,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zulkifli ketika mengadakan pertemuan bersama Raja Salman (kiri) dan jam Rolex yang dihadiahkan kepada beliau pada tahun 2017.

PETALING JAYA – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri membuka ruang bidaan melibatkan jam Rolex miliknya pemberian Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud bermula RM40,000, hari ini.

Hasil bidaan itu katanya, akan disalurkan sepenuhnya kepada kebajikan rakyat Palestin.

“Harga tapak RM40,000. Kenaikan bermula RM100 ke atas. Bidaan akan ditutup pada 31 Oktober 2023 jam 12.00 tengah malam,” katanya.

Menariknya, menerusi kemas kini beliau di ruangan komen, bidaan berkenaan telah mencecah sebanyak RM95,000 setakat tengah hari ini.

“Saya buka kepada yang berminat, untuk membida di ruang komen.

“Makluman terkini, (12.35 tengah hari), bidaan tertinggi adalah sebanyak RM95,000,” ujarnya.

Terdahulu beliau berkata, awalnya beliau tidak mengetahui isi hadiah pemberian Raja Salman pada Februari 2017 itu, sehinggalah ia dibuka pada tahun 2021.

Katanya, beliau ketika itu mendapat panggilan mengejut semasa sedang menghadiri mesyuarat sebagai Panel Penasihat Syariah Bank Negara.

“Saya diminta untuk mewakili semua para mufti dan ulama Malaysia, menyampaikan ucapan di hadapan Raja Salman dalam kunjungan hormatnya ke Malaysia.

“Beberapa hari selepas majlis berkenaan di St. Regis Hotel, saya dihubungi pihak Kedutaan Besar Arab Saudi di Malaysia maklumkan ada cenderamata yang dikirim Raja Saudi lalu minta pegawai saya Dr. Aizam untuk ambil.

“Saya tidak buka dan ia disimpan di pejabat di Putrajaya, sehinggalah saya dilantik sebagai menteri dan kotak tersebut dipindahkan ke pejabat kedua di Kompleks Pusat Islam Kuala Lumpur.

“Apabila saya meletakkan jawatan sebagai menteri pada 2021, kotak tersebut dipindahkan ke pejabat peribadi saya. Di sana, baru saya buka sebagai tanda penghargaan atas derma kurnia daripada Raja Saudi,” kongsinya.

Zulkifli berkata, beliau menjunjung kasih Raja Salman atas derma kurnia yang amat bermakna ini.

“Titah Baginda untuk sentiasa bersederhana, mengutamakan perpaduan ummah dan memartabatkan agama sentiasa akan saya semat dalam hati,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI