MENIKMATI gelora kemasyhuran berganda ketika melewati fasa sudah berkeluarga, aktres Elisya Sandha membuktikan bakat serta kejelitaannya berjalan seiring. Meniti jalan karier dan hidup bersulam kematangan, bagi pemilik nama sebenar Nur Elisya Sandha Hassan itu, status sebagai isteri tidak menghalangnya untuk aktif melipatgandakan usaha dalam mengukuhkan kerjaya seni.
“Melihat ramai rakan seperjuangan termasuk kakak saya, Fasha mengendalikan keluarga dan karier dengan baik biarpun masa kerja kami tidak sama macam orang lain membuatkan saya yakin dengan diri sendiri.
“Memang saya akui rezeki apabila sudah berkeluarga makin meriah, tetapi saya pun tak boleh tamak, kena tengok dulu kemampuan dari segi masa kerana (anak) Bunga Elhaq masih kecil.
“Banyak ujian apabila dah jadi emak kerana dulu ketika tempoh habis berpantang rasa berat nak tinggalkan si kecil sampai saya ambil cuti berlakon beberapa bulan lagi.
“Sekarang Bunga Elhaq pun dah mencecah 15 bulan, jadi saya dah boleh aktif termasuk penuhi tawaran untuk jadi jurucakap atau duta produk,” kata bintang berusia 24 tahun itu.
Anak emas JS Pictures
Menurut pelakon filem Rasuk itu, situasi tersebut memperlihatkannya kerap bekerja di bawah syarikat milik keluarga mentua iaitu Sheila Rusly dan Jinggo, JS Pictures sehingga disangka enggan terbabit dengan produksi lain.
“Sebenarnya orang salah sangka. Bukan tak mahu bekerja dengan orang lain, cuma adakalanya tawaran datang membabitkan lokasi luar daerah atau memerlukan tempoh panjang.
“Saya terpaksa tolak dengan baik kerana anak saya masih terlalu kecil untuk ditinggalkan lama-lama. Saya anggap itu mungkin bukan rezeki saya.
“Bekerja dengan keluarga sendiri pula lebih mudah kerana mereka faham jadual, tetapi tidaklah sampai saya ambil kesempatan. Profesionalisme kena jaga.
“Namun ada juga tawaran syarikat lain saya sambar ikut kepada masa serta watak memandangkan ada antara pelawaan itu membabitkan karakter yang memang saya teringin buat,” ulasnya lagi yang muncul dalam seram Gemersik Berbisik.
Ditanya pula berkenaan imej dirinya yang semakin menyerlah sejak melahirkan si kecil pada Jun 2022, akui isteri kepada Uzair Haqimy Azman itu semuanya berkat ‘disiplin’ diri.
Cuma, dia menangkis dakwaan dibayangi imej kakak kesayangan, Fasha Sandha berikutan cercaan terlalu berpenampilan seksi sejak akhir-akhir ini.
Luah Elisya lagi, hakikatnya sejak kecil mereka selesa berpakaian santai termasuk berseluar pendek, bukan sekarang saja berpenampilan sebegitu.
“Asalkan tak keterlaluan seperti baju tanpa lengan yang menyerlahkan dada atau melampau, saya boleh saja pakai terutama membabitkan keperluan kerja.
“Saya pun tak meniru sesiapa, masing-masing ada imej tersendiri. Bagi saya kakak adalah idola dari segi disiplin, kerjanya serta kelebihan yang dimiliki.
“Tiada sebab saya cuba menandinginya atau mahu berlawan, sudah pasti kakak saya berada pada kelas tersendiri,” ulas anak keempat daripada lima bersaudara itu.
Seksi subjektif
Lebih selesa tidak memperkatakan lagi isu seksi baru-baru ini, baginya setiap individu mempunyai persepsi tersendiri mengenai penampilan sedemikian.
Sebagai pekerja seni yang terbabit dalam sesuatu promosi produk, tentu sahaja dia terikat dengan kontrak yang memperincikan mengenai syarat perlu dipatuhi.
Kata Elisya, biar apa pun alasan, setiap kenyataan pasti dibidas netizen yang boleh menghangatkan lagi isu berbaju seksi ketika fotografi dengan jenama antarabangsa seperti diperkatakan ramai itu.
“Kalau berdiam itu lebih baik saya rasa cukup saja saya ulas perkara tersebut kerana saya hanya patuhi kontrak, lagipun baju tersebut bukan mendedahkan badan.
“Soal penerbitan itu disiarkan pada situasi sekarang pula bergantung kepada kepada terbabit yang perlu mengikuti jadual untuk dipenuhi, bukan bawah bidang kuasa saya.
“Macam saya cakap, industri ini sungguh mencabar membuatkan kita sendiri kena kuat berdepan ujian. Kemasyhuran ada impaknya,” luahnya sarat makna.
Tidak mahu larut dalam aura negatif, selebriti peramah itu berharap dirinya terus diterima dalam dunia lakonan.
“Ketika ada yang selalu cuba mencari silap, saya bersyukur masih ramai memberikan sokongan. Sikap positif peminat buat saja terus kuat,” katanya.














