fbpx
MAN terkejut dan terus pengsan selepas melihat kelibat pocong di belakang motosikalnya. – ILUSTRASI SHAH HASAN

Pengsan angkara pocong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MASIH segar dalam ingatan Man (bukan nama sebenar) mengenai insiden hampir dua dekad lalu ketika dia menuntut di universiti awam di selatan tanah air.

Lama memendam cerita, Man terbuka untuk berkongsi bersama Panorama mengenai kisah seram yang selama ini menghantui dirinya.

Cerita Man, rumah ibu bapanya dengan tempat belajar tidaklah begitu jauh iaitu sekitar 20 kilometer sahaja.

Sebagai anak muda pada ketika itu, dia lebih gemar memilih untuk pulang ke kampung setiap kali tiba hujung minggu apabila tiada aktiviti di kampus.

“Semasa sambung pengajian di peringkat diploma, saya dapat universiti yang betul-betul dekat dengan rumah.

“Kira rezeki saya jugalah sebab program yang saya minat ditawarkan di universiti itu.

“Bila dah dekat, boleh dikatakan saban minggu saya akan pulang ke rumah dengan menunggang motosikal,” katanya membuka bicara.

Meneruskan kata, Man yang kini sudah pun berumah tangga dan mempunyai tiga cahaya mata memberitahu, memang menjadi tabiatnya sejak menjadi mahasiswa untuk pulang ke kampus dari kampung pada waktu malam.

Ujar Man, menunggang motosikal pada waktu malam lebih santai dan sejuk berbanding di siang hari yang panas serta penuh kenderaan di atas jalan.

Kebiasaannya, dia akan memulakan perjalanan sekitar pukul 10 malam atau 11 malam ke atas memandangkan jarak perjalanan yang tidak begitu jauh.

“Saya memang jarang balik ke kampus siang hari. Biasanya, saya suka balik malam dan pernah juga saya balik tengah malam.

“Lagi pula perjalanan bukan jauh sangat. Tidak sampai setengah jam saya sudah boleh sampai ke kampus.

“Kelas pun pagi, jadi saya memang pilih untuk balik sehari awal pada sebelah malam,” katanya.

Ujar Man, hampir dua tahun berulang-alik menggunakan motosikal pemberian arwah ayahnya, ada satu malam yang membuatkan dirinya ‘serik’ untuk meneruskan tabiat balik malam.

Ceritanya, insiden yang berlaku pada malam tersebut betul-betul menyeramkan dan menginsafkan Man untuk tidak lagi pulang ke kampus pada waktu malam.

“Dari rumah saya ke kampus, memang saya akan melalui beberapa kawasan kampung kecil yang boleh dikatakan kiri dan kanannya dipenuhi pokok kelapa sawit.

“Sepanjang laluan itu juga, saya akan melepasi beberapa tanah perkuburan Islam lama di atas bukit.

“Sebelum ini, saya langsung tidak mengendahkan apatah lagi memikirkan perkara tersebut.

“Saya juga boleh dikatakan seorang yang hati kering kerana sukar nak percaya benda-benda mistik.

“Namun, malam itu merubah segalanya dan saya mula menganggap perkara tahyul itu sebenarnya memang wujud.

“Dipendekkan cerita, malam itu saya keluar dari rumah agak lewat sekitar pukul 11.45 malam kerana ada kerja di rumah.

“Sedang asyik menunggang motosikal dan betul-betul melintasi kawasan perkuburan, saya perasan beberapa buah kenderaan memasang lampu ‘double signal’ dan lampu jauh ke arah saya.

“Mula-mula saya tidak fikirkan apa-apa. Namun, saya perasan setiap kenderaan yang melintasi saya di lorong sebelah semua buat perkara sama.

“Pada masa itu, saya sudah rasa lain dan pelik. Masa itu juga saya perasan motosikal yang saya tunggang tiba-tiba berat lain macam seolah-olah ada yang menumpang di belakang.

“Saya memberanikan diri melihat cermin sisi pada motosikal.

“Alanglah terperanjatnya saya apabila melihat susuk berbungkus seakan-akan pocong sedang duduk di tempat duduk belakang motosikal,” katanya.

Tambah Man, dia sempat memberhentikan kenderaan dan pengsan selepas melihat sosok seram tersebut.

Katanya, apa yang dia ingat, dia dimasukkan ke hospital beberapa hari kerana demam panas dan menggigil seluruh badan sebelum dibawa pulang ke kampung.

Sejak itu, Man nekad untuk tidak lagi menunggang motosikal pulang ke kampus pada waktu malam atau melalui jalan puaka tersebut selepas waktu maghrib.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN