fbpx
Gambar hiasan

‘Isteri cepat melenting, mungkin terkena sihir pemisah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sihir pemisah kini semakin menjadi-jadi apabila ilmu hitam itu yang paling banyak digunakan untuk memisahkan pasangan terutama suami isteri.

Perubat Islam dari Pusat Rawatan Islam Ar Syifa’ Al Mustakim, Zamri Sarkam berkata, dalam sebulan, kira-kira 20 pesakit hadir untuk mendapatkan rawatan pemulihan akibat terkena sihir.
Menurutnya, lebih separuh daripada jumlah itu melibatkan mangsa yang terkena sihir pemisah.

“Kebanyakan pesakit yang menerima rawatan dengan kami terkena sihir pemisah dengan ada kes isteri tiba-tiba rasa panas, cepat melenting dan suka bergaduh dengan suami. Mereka juga benci tengok muka suami.

“Bagaimanapun, apabila berjauhan dengan suami, mereka rasa rindu pula,” katanya kepada Kos­mo! Ahad semalam.

Zamri memberitahu, semakin maju dan moden dunia masa kini, semakin banyak perkhidmatan sihir dipromosikan menerusi media sosial secara terbuka.

Katanya, ada pihak memperdagangkan perkhidmatan sihir dengan alasan mahu membantu mereka yang teraniaya.

“Sekarang senang, sihir pun diiklankan di Facebook. Cuma beri gambar orang yang hendak disihir dan bayar upah serendah RM1,000,” ujarnya.

Beliau yang berpengalaman memberi khidmat rawatan alternatif Islam sejak 2017 berkata, ada sihir pemisah menyebabkan pasangan suami isteri bercerai.

“Saya pernah kendali kes yang mana lelaki ini duda dan berkahwin lagi. Akibat sihir, mereka bercerai dan sihir itu didakwa dihantar oleh bekas isteri pertama.

“Dalam kes terbaharu, sepa­sa­ng suami isteri hampir bercerai dan telah duduk berasingan. Sihir itu terlalu kuat dan perlu banyak sesi rawatan,” ujarnya.

PERBUATAN sihir adalah syirik di sisi Islam. – GAMBAR HIASAN

Mengenai tanda-tanda seseorang itu mengalami sihir, beliau berkata, antaranya seperti bermimpi binatang buas, jatuh di tempat tinggi selain bermimpi di tanah perkuburan, seterusnya rasa sakit badan dan sukar tidur di malam hari.

“Ada kes hardcore saya pernah kendalikan lebih empat atau lima tahun dia disihir melibatkan perniagaan. Kes dengki apabila wanita ini orang kaya dan jutawan tapi akhirnya kini jadi asnaf.

“Yang melakukannya bukan seorang, tetapi lima orang. Pesakit wanita ini mengalami sakit badan tidak boleh disentuh langsung, tak boleh tidur malam serta hilang selera makan. Bibir pecah-pecah dan kurus kering tubuhnya.

“Usia wanita ini sekitar 48 tahun. Dahulu banyak hartanya dan kini habis. Begitu juga suaminya terlantar lemah badan. Sihir dihantar ini mungkin mahu dia mati, tetapi umurnya masih panjang,” ceritanya.

Tambahnya, pesakit mempunyai peluang sembuh dan perkara itu diserahkan kepada kuasa Allah SWT, manakala tugas mereka adalah membantu pesakit.

Seorang lagi pengamal rawatan alternatif Islam, Haizaliza Roslan juga mengakui sihir pemisah semakin popular apabila kebanyakan kes yang dikendalikannya dalam tempoh dua minggu ini banyak melibatkan jenis sihir tersebut.

ANTARA perkhidmatan sihir yang diiklankan di Facebook.

Katanya, sebelum memulakan rawatan, dia akan bertanya lebih lanjut kepada pengadu bagi memastikan masalah dialami berpunca daripada ilmu hitam itu atau sebaliknya.

“Kita maklumkan awal-awal kalau datang sakit itu melibatkan gangguan, contohnya sihir pemisah atau saka. Kita akan buat rawatan pulihkan, namun jika berkaitan sikap individu seperti panas baran, kita tak boleh buat apa-apa.

“Sihir pemisah ini menyebabkan hubungan suami isteri jadi panas dan rawatan mesti berdepan dengan pesakit. Tanda-tanda sihir pemisah dan saka pun ada yang seakan-akan sama.

“Ada pesakit fikir ter­kena sihir pemisah, tapi sebaik dirawat, rupanya daripada saka. Saka itu apabila empunya badan berkahwin, ia akan keluar tanda macam sihir pemisah,” ujarnya.

Beliau berkata, khidmat rawatan pula akan dilakukan bersama suaminya memandangkan mereka tidak boleh menyentuh pesakit berlainan jantina.

“Jika pesakit lelaki, Ustaz Akim (suaminya) akan kawal, saya ambil alih pesakit wanita dan dia akan membantu ruqyah. Biasanya gangguan itu berada di dalam tubuh pesakit yang tidak boleh disentuh.

“Untuk pesakit wanita, bia­sanya gangguan itu berada di bahagian rahim dan kemaluan, bawah dada dan pinggul belakang, manakala lelaki pula di belikat, sendi dada atau kepala.

“Gangguan itu akan ‘serang’ pada sendi lelaki sebab mereka banyak buat kerja. Rohani juga kuat, jadi kebarangkalian meracau itu tidak tinggi, setakat muntah atau bersilat. Berbanding wanita akan meracau, menjerit dan meronta, jadi sukar nak ka­wal,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN