fbpx

Air pasang besar 1.16 pagi esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zairil Anuar (dua dari kanan) meninjau paras laut di Jeti Kuala Kedah, Alor Setar hari ini.

ALOR SETAR – Penduduk di kawasan rendah dan berhampiran pantai diminta berwaspada berikutan fenomena air pasang besar yang bermula hari ini hingga lusa di negeri ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Zairil Anuar Zulmuji berkata, terdapat empat daerah yang berisiko iaitu Kota Setar, Kuala Muda, Yan dan Kubang Pasu.

Katanya, fenomena air pasang itu boleh mencapai ketinggian sehingga tiga meter.

“Tumpuan yang lebih diberikan kepada empat kawasan paling berisiko iaitu Kuala Kedah, Kota Kuala Muda, Kuala Yan dan Kuala Jerlun. Pihak kami berada dalam keadaan siap siaga dengan para pegawai serta anggota telah ditempatkan di lokasi-lokasi berisiko.

“Sehubungan itu penduduk di kawasan terlibat diminta berhati-hati dan sentiasa peka dengan peningkatan air di sekeliling kediaman masing-masing. Mereka juga diminta segera berpindah ke kawasan selamat atau pusat pemindahan sementara (PPS) jika diarahkan berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau keadaan bersama pegawai dan anggota APM di sekitar Jeti Kuala Kedah dekat sini, hari ini

Mengulas lanjut katanya, fenomena itu dijangka berlaku pada pukul 1.16 pagi esok serta 1.45 pagi Selasa.

“Kami telah melakukan persediaan rapi untuk menghadapi segala kemungkinan termasuk jika fenomena itu bertembung dengan hujan lebat. Keadaan itu mungkin akan menyebabkan berlakunya banjir di kawasan tertentu.

“Sepanjang tempoh berlakunya fenomena ini, orang ramai diminta sentiasa peka terhadap sebarang arahan dikeluarkan pihak berkuasa. Dalam masa sama, orang ramai juga dinasihatkan agar tidak berada di kawasan pantai demi keselamatan semua pihak,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI