fbpx

Kuala Kangsar destinasi pelancongan lengkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Masjid Ubudiah antara tarikan menarik di Kuala Kangsar, Perak.

KUALA KANGSAR – Sebut sahaja Kuala Kangsar, pastinya terlintas tentang keunikan istiadat diraja, budaya tradisional orang Melayu Perak, aneka makanan serta lokasi bersejarah.

Kombinasi itu menjadikan daerah tersebut lengkap sebagai destinasi pilihan pelancong semasa cuti hujung minggu dan sekolah.

Bagaimanapun, wabak Co­vid-19 yang melanda negara antara 2020 hingga 2022 telah merencatkan industri pelancongan dan Kuala Kangsar tidak ketinggalan mengalami kesan buruk.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Dr. Sakduddin Zamli berkata, banyak perancangan disusun untuk menaikkan semula bandar diraja itu sempena Tahun Melawat Perak 2024.

Menurutnya, selain kewujudan destinasi popular seperti Muzium Diraja Kuala Kangsar, Jambatan Victoria dan Masjid Ubudiah, pihaknya akan memperkenalkan perkhidmatan bot persiaran di Sungai Perak.

“Sejak dari awal, Sungai Perak merupakan tulang belakang Kuala Kangsar. Banyak tempat menarik boleh diakses melalui sungai ini. Maka pembangunan semula dari segi jeti dan penyediaan bot menjadi hasrat kami untuk ditawarkan kepada pelancong,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Jelasnya, laluan sungai menjadi medium utama sultan dan pembesar negeri untuk berjumpa dengan rakyat dan MPKK mahu menghidupkan kembali keunikan tersebut bagi memberi peluang orang ramai merasai nilai atau cara hidup zaman dahulu.

ISTANA KUALA KANGSAR

Sakduddin yang mula mengepalai MPKK sejak Ogos lalu berkata, pelbagai promosi giat dijalankan bagi mengekalkan keunikan daerah berkenaan bersama kerajaan negeri dan Tourism Perak.

“Ini termasuk bagi menarik lebih ramai pengunjung meliputi media dan agensi pelancongan dari Thailand.

“Kuala Kangsar kaya dengan tinggalan sejarah dan warisan budaya, Padang Rengas dan Sungai Siput kaya dengan produk pelancongan berasaskan alam iaitu ekopelancongan yang semakin mendapat tempat di mata pengunjung,” ujarnya.

Berkenaan pelan Perak Sejahtera 2030, beliau yang juga anak tempatan berkata, fokus sedang diberikan bagi membangunkan Kuala Kangsar sebagai Bandar Diraja terkenal di peringkat antarabangsa.

“Ini dapat membantu dari segi limpahan ekonomi kepada penduduk dan peluang pekerjaan. Daripada ini juga, pihak yang ingin melabur boleh mengetahui kelebihan setiap daerah dan daerah kita ini boleh dijadikan hab pelaburan baharu,” katanya.

Menjelang Hari Kepute­raan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan pada 3 November ini, katanya, MPKK membuat persediaan rapi terutama dari segi keha­diran para pembesar dan acara yang akan berlangsung di Istana Iskandariah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI