fbpx

Pulau di Mersing indah bak Maldives

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PULAU di Mersing memiliki banyak spot yang cantik untuk berenang dan bergambar.

PERCUTIAN tahunan sudah menjadi lumrah bagi saya dan rakan-rakan. Tahun 2023, kami memilih Mersing, Johor sebagai destinasi percutian.

Tidak dapat digambarkan perasaan teruja kami dan saban hari membelek gambar melalui Google Image dan menonton video percutian di sana melalui aplikasi TikTok dan Instagram.

Percutian kali ini singkat sahaja iaitu dua hari satu malam. Kami memilih untuk melakukan island hopping di lima buah pulau dan menginap di inap desa berdekatan Jeti Mersing.

Pada mulanya, kami merancang memandu dari ibu kota ke Mersing. Namun, selepas ditimbal balik semula, masa dapat dijimatkan sekiranya kami menaiki kapal terbang terlebih dahulu.

Perjalanan ke Mersing bermula dengan menaiki kapal terbang ke Johor Bahru dari ibu negara sebelum memandu kereta ke Mersing.

Dalam perjalanan, kami singgah bersarapan di Kampung Melayu Majidee. Tempoh perjalanan ke sana mengambil masa lebih kurang tiga jam.

Tatkala tiba di jeti, kami melihat ramai sedang menunggu bot dan feri ke pulau. Pemandu pelancong kami menasihati agar sentiasa memakai jaket keselamatan.

Terdapat dua bot yang bergerak bersama kami dengan 24 orang peserta dan enam orang awak-awak.

Keadaan laut pada masa itu bergelora dan angin agak kuat. Hati kecil saya berkata, adakah betul keputusan kami untuk masuk ke pulau pada hari itu?

Akan tetapi setelah 20 minit, semua kerisauan hilang apabila kami singgah di pulau yang pertama iaitu Pulau Harimau.

Rupa bentuk pulak dan keadaannya mengingatkan saya kepada Pantai Lahinch yang menjadi lokasi dalam video lagu, My Love nyanyian Westlife.

Pulau Harimau merupakan sebuah pulau tidak didiami, tetapi spot yang cantik untuk berenang dan bergambar.

Air jernih menampakkan susunan batu-batu semula jadi di dalamnya. Terdapat batu berwarna hitam, kuning dan merah. Ia menjadikan pemandangan dasar laut sangat indah.

Usai melawat Pulau Harimau kami menuju ke Pulau Rawa pula.

Di sini kami tidak dibenarkan untuk singgah turun kerana ia pulau persendirian. Kami dibenarkan untuk berhenti seketika dan mengambil gambar Pulau Rawa. Pulau ini dipenuhi resort mewah dan cantik.

Kemudian, kami menuju ke Pulau Tengah atau Pulau Babi Tengah. Di sini, kami dibenarkan mandi di sebahagian pulau ini. Jangan risau kerana sebahagian yang dibenarkan ini mempunyai pemandangan tercantik.

Tatkala tiba, pandangan mata tertumpu pada pasir putih pantai dan air laut yang membiru. Ikan-ikan bermain di gigi air dan rumput laut juga kelihatan.

Setelah itu kami ke lokasi pertama untuk snorkel iaitu di Pulau Hujung atau Pulau Babi Hujung. Di sini, kami turut menikmati makan tengah hari.

Kami dihidangkan menu nasi putih, ayam masak merah, sayur kacang buncis tumis dan telur dadar.

Usai makan tengah hari, bot membawa kami ke tempat snorkel kedua iaitu di Pulau Besar.

Semua pulau yang kami singgah merupakan sebahagian Taman Dasar Laut Sultan Iskandar.

Pulau Besar mempunyai banyak chalet dan resort yang menyediakan pakej-pakej menarik serta terdapat pusat pengeraman telur penyu.

Kami mengambil peluang berehat dan menikmati air kelapa di tepi pantai.

Di sekitar pantai terdapat penjaja yang menjual makanan ringan dan chalet yang menyediakan washroom service.

Pulau Besar merupakan destinasi terakhir kami untuk island hopping di Mersing. Pemandu pelancong mencadangkan supaya kami bertolak lebih awal ke tanah besar kerana cuaca mulai mendung. Terlihat dari jauh hujan telah turun di tanah besar.

Kami menaiki bot pulang semula ke tanah besar pada pukul 4 petang. Perjalanan kali ini sedikit mencabar kerana ombak tinggi dan angin kuat.

Keadaan itu berterusan untuk 15 minit perjalanan. Apabila bot menghampiri tanah besar keadaan kembali normal.

Alhamdulillah, kami selamat tiba di Jeti Mersing dengan keadaan selamat.

Pulau-pulau di Mersing adalah antara yang terindah pernah kami lawati.

Ia memberikan perasaan seperti berada di Maldives. Pengalaman ini tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI