fbpx

Gadis maut tak sempat sambut hari jadi bersama ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokasi kemalangan maut di Jalan Guar Nenas, Gurun pada pagi semalam.

SUNGAI PETANI – Hajat seorang gadis untuk menyambut ulang tahun kelahiran bersama ibunya Sabtu ini tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Jalan Guar Nenas, Gurun dekat semalam.

Dalam kemalangan pada pukul 8.05 pagi itu, mangsa, Fatin Nadiatul Ain Izahar, 21, maut di lokasi kemalangan akibat kecederaan dalaman di kepala dan beberapa bahagian badan.

Menurut ibu mangsa, Normah Abdullah, 48, ketika kejadian anak kedua daripada lima beradik itu dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sebuah syarikat ukur di Ambangan Height, di sini dengan memandu kereta Perodua Kelisa.

“Dia berulang-alik menggunakan laluan Guar Nenas dari rumah di Kampung Kuala Dulang Kecil, Yan sejak bekerja di syarikat itu sebulan lalu.

“Beberapa hari lepas kami berbincang untuk mengadakan majlis hari jadi serentak pada Sabtu ini kerana ulang tahun kelahiran kami berdua pada bulan ini,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Abdul Halim (HSAH), di sini semalam.

Katanya, anaknya bekerja di syarikat tersebut untuk mencari wang bagi membuat persediaan menghadiri konvokesyen di Politeknik Kulim yang akan diadakan pada Januari tahun hadapan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta Proton Saga dipandu seorang pekerja kilang iaitu wanita berusia 33 tahun dari arah Gurun hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

“Kereta Perodua Kelisa dipandu mangsa dari arah Guar Nenas ke Gurun kemudiannya dilanggar pada bahagian kanan menyebabkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan.

“Sementara pemandu Proton Saga yang beralamat di mukim Padang Pusing, Pendang hanya mengalami kecederaan di bahagian pinggang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI