fbpx
Gambar hiasan

Pengemis TikTok sasar penonton hati ’tisu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – ‘Kerjaya’ sebagai pengemis kini tidak lagi perlu turun ke kaki lima dan jalanan sebaliknya cukup sekadar berpakaian lusuh atau menunjukkan anak kecil untuk menagih simpati sebelum melakukan live di aplikasi TikTok bagi memperdaya kalangan yang berhati ‘tisu’.

Kaedah mengemis secara digital itu semakin menjadi-jadi apabila ramai sudah mula nampak peluang terbuka luas itu kerana hasil lumayan setiap kali menerima TikTok Coins atau pelekat yang boleh ditukar dengan wang tunai.

Difahamkan, TikTok Coins itu digunakan bagi pembelian pelekat hadiah untuk diberikan kepada pemilik akaun yang mana har­ganya mampu mencecah sehingga ribuan ringgit.

Setiap pelekat bernilai RM3.65 (70 coins), RM18.29 (350), RM36.59 (700), RM182.89 (3,500) dan RM914.59 (17,500).

Pemilik akaun semakin ke­tagih apabila penonton yang tersentuh dengan lakonan dan rayuan mereka ketika bersiaran langsung akan memberikan sumbangan mengikut kemahuan.

Apa yang terjadi ialah pelekat yang dihantar ko­nonnya untuk menghargai penciptaan kan­dungan sebenarnya digunakan untuk mengemis secara digital tanpa disedari.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia, Siraj Jalil berkata, trend itu wujud apabila ada pemilik akaun sering membuat live dengan memaparkan kisah sedih, seterusnya mengajak penonton memberikan pelekat hadiah sebagai tanda sokongan.

Bagaimanapun katanya, ti­dak dinafikan wujud golongan terdesak mendapatkan bantuan hingga sanggup merayu di TikTok selain ada kumpulan cuba mengambil kesempatan.

“Trend itu wujud apabila rak­yat Malaysia mempunyai rasa empati tinggi di mana sikap mahu membantu orang susah sentiasa ada. Pada masa sama ada pihak yang sengaja mengambil kesempatan.

“Naratif penceritaan mereka seperti memaparkan anak sakit ketika penstriman langsung selain menulis nota seperti memohon bantuan membeli susu bayi untuk menarik simpati penonton,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut Siraj, pengemis semakin galak meminta duit hingga ada yang sanggup merendahkan martabat seperti menari secara seksi demi meraih perhatian penonton.

Tambahnya, pihak berkuasa seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu mengambil tindakan tegas de­ngan menjalankan siasatan ke atas segala dakwaan mereka bagi mengelakkan penipuan itu terus berlaku.

“Jika mereka betul-betul susah, JKM boleh menawarkan bantuan tetapi kalau setakat ­ingin meraih simpati palsu, ia perlu dibanteras,” katanya.

Ujar Siraj, pemantauan pi­haknya mendapati ia bukan sahaja melibatkan individu tetapi kerjaya mengemis itu turut dilakukan secara berkumpulan yang bernaung di bawah agensi tertentu.

“Mereka ini merupakan profesional dan akan bersaing sesama agensi untuk mendapatkan jumlah tontonan tinggi.

“Penstriman langsung telah menjadikan mereka peminta sedekah profesional kerana memaksa orang memberi wang atau hadiah. Namun tidak semua begitu kerana mereka tidak me­minta-minta ketika live,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Psikologi Bahagian Sumber Manusia Universiti Sains Malaysia, Mohamad Shafieq Ishak berkata, orang muda paling ramai terlibat dalam situasi itu.

“Mereka terbiasa untuk me­minta penonton memberikan pelekat hadiah. Sebab itu ada yang enggan menyambung pe­ngajian sebab sudah sedap dapat duit mudah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN