SUATU perjalanan akan tambah bermakna jika dilalui dengan orang-orang istimewa. Pada Sabtu lalu, penulis bermotosikal dari tengah bandar Yogyakarta. Motosikal ditunggang rakan, Ryan Rahardian, manakala penulis memboncengnya.
Bandar ini diberi jolokan Daerah Istimewa Yogyakarta rentetan sejarahnya sebelum dan selepas kemerdekaan Republik Indonesia.
Kebetulan penulis berada di sana bercuti bersama tujuh lagi rakan hujung minggu lalu. Sebaik mengetahui penulis berada di sana, Ryan atau mesra dipanggil Abang Aji menawarkan untuk berkhemah di tapak kem Potrobayan, Bantul. Kira-kira 21 kilometer dari pusat bandar Yogyakarta.
Penulis bersetuju memandangkan Sabtu malam minggu itu tidak apa-apa agenda dengan rakan yang lain. Lagipun sudah lama tidak bertemu Abang Aji. Kali terakhir kami berbual panjang adalah ketika ekspedisi menawan puncak Gunung Sindoro dan Gunung Sumbing pada 2019.
Sebelum dunia dilanda pandemik Covid-19. Ketika bebas sebelum ‘dikurung’, sempadan-sempadan negara ditutup.
Usia Abang Aji ini masih lewat 20-an. Lulusan undang-undang sebuah universiti di Solo (Surakarta). Anak jati Boyolali, Jawa Tengah. Pekerjaan hakikinya adalah malim gunung untuk para pendaki.
Motosikal adalah kenderaan yang amat praktikal ketika hujung minggu di Yogyakarta. Ia berikutan keadaan trafiknya yang amat sesak berikutan orang ramai dari daerah-daerah lain berpusu-pusu masuk ke bandar untuk berlibur.
Sepanjang perjalanan ke tapak kem dihiasi bendera-bendera parti-parti politik republik itu. Ujar Abang Aji pada tanggal 14 Februari 2024 negara itu akan menghadapi pilihan raya umum. “Pemilu (Pemilihan Umum) tahun depan, tahun ini sudah berkelahi,” ujar Abang Aji berseloroh.
Katanya lagi, Pemilulah bagaimanapun, kehidupan rakyat tetap sama. Apa yang berubah hanyalah sosok pemimpin yang terpilih. Rakyat tetap makan nasi gudeg.
Gudeg ialah makanan khas Yogyakarta dan Jawa Tengah. Ia diperbuat daripada nangka muda yang dimasak dengan santan. Rasanya manis. Namun, ujar Abang Aji, ironinya ia ‘pahit’ kerana juadah orang susah.
“Orang susah panaskan gudeg berkali-kali, dibuat lauk. Kadang sampai (teksturnya) ‘kering’,” jelasnya.
Mungkin tidak wajar dikaitkan dengan situasi di negara kita berikutan geopolitik Indonesia dan Malaysia yang berbeza. Malah, ‘persaingan’ untuk hidup di sana juga tinggi. Populasi negara itu mempunyai lebih 278 juta orang setakat pertengahan 2023.
Malaysia pula bergelut dengan isu peningkatan kos sara hidup. Malah, hari ini adalah permandangan biasa apabila ada ahli keluarga kita, rakan sekerja yang melakukan dua pekerjaan semata-mata mahu meletakkan lauk di atas meja.
Ada yang sudah bercerai-berai pun sebab ketua keluarga tidak mampu melimpahkan ‘harmoni’ kepada tanggungan. Jangan sampai bukan setakat mahu panaskan lauk, silap-silap nasi pun makan dengan garam sebab susah.















