TERJERAT emosi. Rasa itu yang dilalui penulis sepanjang lebih dua jam menonton sebuah konsert yang sarat kata-kata puitis terlantun dari bibir pemuzik bernama Fiersa Besari.
Ibarat mendengar si penyair jalanan membuat persembahan, itulah yang cukup untuk menggambarkan konsert Fiersa Besari Berjalan Mundur di Zepp Kuala Lumpur (KL) baru-baru ini.
Disangka tidak mendapat sambutan hangat, ternyata telahan tersebut meleset apabila Zepp KL dibanjiri dengan lebih 1,000 peminat setia penyanyi kelahiran Bandung, Indonesia itu.
Memulakan persembahan pada pukul 9 malam, kemunculan Fiersa dengan persalinan sut sebelum mendendangkan Pengecut, Bukan Lagu Valentine meraih sorakan gemuruh daripada peminat.
Garis Terdepan dan Melangkah Tanpamu yang merupakan antara lagu popularnya turut diselitkan dalam segmen pertamanya itu.
Seperti kebiasaan, lagu-lagu milik penyanyi Indonesia sememangnya mampu membikin galau penonton walau hadir berhati riang.

“Selepas setahun, saya kembali lagi ke Malaysia yang sepertinya sudah menjadi rumah kedua.
“Ternyata sokongan anda masih kekal utuh buat karya-karya seni saya,” katanya.
Melanjutkan persembahan, dia terus menjentik emosi penonton menerusi segmen kedua apabila menyanyikan lagu Rumah yang mengisahkan tentang rasa kejauhan daripada keluarga yang adakalanya dianggap sebagai beban hidup.
“Ramai yang mempunyai rumah tetapi tidak berasa aman apabila pulang.
“Carilah ketenangan itu dan usah biarkan wujud rasa janggal dengan ibu bapa waima marah mana pun kita pada mereka sebab hidup ini cuma sekali dan jangan sampai menyesal,” ujarnya.
Tidak membiarkan penonton menanti lama, persembahan dilanjutkan ke segmen ketiga dengan dendangan lagu Temaram, Juara Kedua, April dan Garis Waktu.
Menurutnya, lagu Temaram yang bermaksud redup itu jarang dinyanyikan dalam mana-mana persembahan kerana bimbang membuatkan penonton menitiskan air mata.
“Saya jarang sekali membawakan lagu ini sebab ada yang cakap penonton tidak suka rasa sendu.
“Nampaknya perkara itu salah, anda semua galau. Tidak mengapa, menangis juga satu hak peribadi untuk menceritakan emosi diri,” katanya lagi.

Seterusnya, antara lagu paling dinanti-nanti ramai ialah nyanyian bersama Aisha Retno yang membuat seluruh dewan bergema apabila penonton turut menyanyi bersama.
Lagu yang dipetik daripada album Tempat Aku Pulang itu boleh dikatakan antara karya yang memperkenalkan nama Fiersa di Malaysia sebelum ini.
Kehebatan nyanyian Aisha memang tiada tandingan. Setiap lenggoknya dan kemerduan memang level lain! Dia berjaya menghidupkan lagu asal duet Fiersa bersama Thantri Sundari itu dengan cemerlang.
Sebelum menutup tirai pentas, Fiersa sekali lagi menampilkan penyanyi kegilaan anak muda zaman sekarang yang diterbangkan istimewa dari Indonesia, Feby Putri.
Seperti hampir runtuh Zepp KL, begitulah penangan persembahan lagu Runtuh bersama Feby yang memang amat dinanti-dinanti penonton pada malam tersebut.
Jika Aisha juara pada nyanyian, Feby pula membolot kemenangan dari aspek penghayatan dan energi yang diberikan walau hanya untuk sebuah lagu.
“Ini pertama kali saya berduet dengan Feby dalam sebuah konsert di luar Indonesia.
“Seorang anak muda yang penuh dengan idea dan sentiasa memberi jiwanya ketika membuat persembahan,” tuturnya sebelum mengakhiri malam tersebut dengan lagu rancak Celengan Rindu.
Secara keseluruhan, persembahan boleh dikatakan mula bernyawa selepas segmen ketiga kerana pada awalnya semuanya agak perlahan dan pemilihan lagu seharusnya diselang-selikan dengan karya yang lebih rancak.

Galau atau ‘healing’?
Sempat bertemu media Malaysia sebelum acara berlangsung, Fiersa mengakui terkejut dengan sambutan hebat yang diberikan peminatnya di sini terhadapnya setiap kali melancarkan karya seni.
“Ini satu penghormatan buat saya apabila masih lagi diterima dan berpeluang mengadakan konsert di negara lain.
“Bukan sahaja terkejut tetapi membuatkan lebih semangat untuk menghasilkan lagu dan lirik yang lebih baik pada masa akan datang,” jelasnya.
Berbicara mengenai tanggapan segelintir pihak yang melabel lagu-lagunya sebagai karya galau, hal itu diserahkan sepenuhnya mengikut kefahaman peminat.
Baginya setiap individu memiliki interpretasi berbeza apabila mendengar sesebuah lagu mengikut emosi sendiri.
“Tidak mengapa jika ada yang mahu cakap lagu saya semuanya sedih, galau dan tentang putus cinta sebab kita semua memiliki pemahaman berbeza mengikut pengalaman hidup sendiri.

KEMUNCULAN Aisha Retno yang diundang berduet menerusi lagu Waktu Yang Salah turut menyerikan konsert Fiersa Besari di Zepp KL.
“Jadi, terpulang kepada individu itu sendiri untuk buat interpretasi. Ada juga lagu saya yang mesejnya sebenar adalah tentang kegembiraan tetapi buat pendengar sedih, manusia aneh bukan?” katanya sambil tertawa kecil.
Dalam masa sama, penyanyi berusia 39 tahun itu bertegas dia bukan anak seni yang menghasilkan lagu demi mengejar jumlah tontonan atau populariti semata-mata.
“Selepas 14 tahun menjadi penyanyi, populariti tiada lagi dalam senarai prioriti saya.
“Tiada lagi keghairahan itu seperti zaman muda. Kini, lagu-lagu yang dihasilkan bukan untuk tujuan viral atau perlu popular kerana jika ada yang tular dalam media sosial, itu adalah rezeki,” ungkapnya yang juga seorang penulis puisi dan pencandu keindahan alam.















