IPOH – Golongan pencari kerja yang yang berusia 35 tahun dan ke atas terpaksa bergelut untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan serta pengalaman masing-masing.
Setiap tahun, kumpulan tersebut terutama yang diberhentikan kerja perlu bersaing dengan kira-kira 224,000 graduan yang menamatkan pengajian sama ada di universiti atau kolej yang jauh lebih muda.
Ada pencari kerja mendedahkan mereka menghantar resume kepada 50 buah syarikat, namun hanya beberapa syarikat yang berminat untuk panggil temu duga.
Bekas eksekutif swasta, Fatin Mohd. Ali, 36, berkata, dia menghadiri pelbagai karnival kerjaya untuk mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan dan pengalaman selepas diberhentikan kerja secara beramai-ramai kira-kira enam bulan lalu.
Mempunyai pengalaman kerja selama hampir 10 tahun, graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat sebuah universiti awam itu mengakui dia menghadapi kesukaran terutama berkaitan gaji.
“Saya menghantar resume di 50 buah booth syarikat yang mengambil bahagian pada karnival kerjaya sepanjang tempoh menganggur.
“Tetapi, ada sebilangan kecil syarikat sahaja yang memanggil untuk sesi temu duga. Itu pun kebanyakan mereka beritahu syarikat menawarkan gaji permulaan RM1,500,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Fatin, dia cuba berunding mengenai gaji yang ditawarkan, namun dimaklumkan masih ramai graduan baharu dalam senarai menunggu untuk dipanggil temu duga.
“Walaupun saya terima dengan gaji (minimum) itu, akhirnya mereka pilih orang lain bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut,” katanya.
Nasib sama turut menimpa pencari kerja, Hisham Mohd. Nor, 37, apabila terpaksa mencari pekerjaan lain selepas perniagaan makanan yang diusahakannya tidak membuahkan hasil.
Menurut pemegang diploma dalam bidang teknikal itu, sebelum ini, dia bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang sebelum dihentikan oleh majikan disebabkan keadaan ekonomi yang tidak stabil.
“Setelah dihentikan kerja, saya membuka perniagaan kedai makan. Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi saya. Hendak cari pekerjaan lain saya berdepan dengan cabaran atas faktor umur.
“Rata-rata majikan yang ditemui memaklumkan mereka mahu ambil orang muda terutama graduan baharu kerana gaji permulaan RM1,500.
“Bukan tidak mahu terima (gaji rendah), tetapi saya mempunyai banyak tanggungan termasuk isteri dan anak-anak selain komitmen pinjaman kereta serta rumah,” katanya.
Kenyataan itu turut disokong bekas eksekutif kewangan, Nur Ilyani Mohd. Nasir, 41, yang memberitahu, dia sudah menghantar puluhan resume kepada syarikat berkaitan, tetapi tidak sampai 10 majikan yang menunjukkan minat.
“Jika sebelum ini saya mampu meraih pendapatan bulanan sebanyak RM7,000, namun sekarang nak dapat gaji RM3,000 pun susah. Apatah lagi usia saya pada tahun ini sudah 41 tahun.
“Rasanya lebih 50 resume saya hantar kepada majikan, namun tak sampai 10 syarikat menunjukkan minat walaupun saya mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam bidang berkaitan,” katanya yang dihentikan kerja ekoran syarikat mahu mengecilkan operasi. -KOSMO! ONLINE














