KELIBAT pelakon cantik yang manis bertahi lalat pada hidung itu sudah lama tidak kelihatan membintangi mana-mana drama dalam kaca televisyen.
Gara-gara itu, ramai pihak beranggapan mungkin pelakon dengan nama pentas, Bella Dally itu sudah tidak lagi aktif berlakon sekali gus mengambil keputusan untuk mengundurkan diri dalam dunia seni.
Bahkan, nama pelakon berusia 32 tahun itu seakan-akan suram selepas mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan suaminya yang juga merupakan seorang ahli perniagaan, Arif Izuddin Mohd. Radzali, empat tahun lalu.
Bella atau nama lengkapnya Nabilah Ali Dally ketika ditemui HibGlam baru-baru ini memberitahu, dia masih lagi ‘wujud’ dalam industri, bahkan belum lagi meninggalkan kerjaya lakonan seperti yang didakwa beberapa pihak.
Bagaimanapun, Bella mengakui dirinya kini sudah jarang muncul dalam mana-mana drama televisyen sehingga menyebabkan segelintir pihak beranggapan dia tidak mahu lagi berlakon.

Aktif tapi selektif
Hakikatnya, Bella masih dihujani dengan banyak tawaran, namun terpaksa menjadi lebih selektif dan menolak cara baik karya yang dirasakan tidak sesuai dengan jiwanya.
“Betul, memang ramai yang ingat saya tidak berlakon lagi. Sebab saya jarang muncul dalam mana-mana drama.
“Tapi sebenarnya, saya masih lagi menyayangi bidang ini (lakonan). Bahkan, suami saya sendiri tetap memberi sokongan untuk saya teruskan kerjaya dalam bidang lakonan.
“Saya tidak berhenti berlakon dan tawaran masih lagi ada. Cuma kini saya agak selektif. Bila watak atau skrip yang diberikan tidak kena dengan jiwa, saya akan terus reject (menolaknya),” ujar Bella.
Kata pelakon kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu lagi, dia bagaimanapun menetapkan perancangan untuk berhenti berlakon suatu hari nanti, ketika usianya mencecah 40 atau 50 tahun.
“Tapi perancangan untuk berhenti berlakon itu memang ada. Cuma bukan sekarang. Saya rasa, mungkin apabila usia saya sudah mencecah 40 atau 50 tahun.
“Saya buat perancangan sebegitu kerana mahu memberi perhatian pada perniagaan yang saya usahakan,” ujarnya.

Penerbit drama
Ternyata, selain bergelar pelakon, si cantik ini rupa-rupanya bergelar seorang penerbit drama dengan menubuhkan rumah produksi, Ariz Media Entertainment Sdn. Bhd. sejak dua tahun lalu.
Kata Bella, dia memilih untuk mengusahakan sebuah rumah produksi kerana merasakan bidang tersebut dekat dengan jiwanya sebagai seorang anak seni.
“Alhamdulillah, produksi saya sudah terbitkan lima drama. Antara sebab saya membuka rumah produksi, kerana saya sendiri berada dalam bidang tersebut (lakonan) selama lebih 10 tahun.
“Kakak ipar saya juga merupakan seorang pembantu pengarah. Jadi saya yakin untuk mengusahakan rumah produksi sendiri,” jelasnya.
Bergelar seorang penerbit drama, justeru Bella turut mempunyai azam tersendiri apabila akan memastikan syarikat produksi miliknya tidak menganiaya pelakon atau kru produksi dalam soal bayaran kerja.
Kata Bella, sebagai pelakon, dia juga pernah berdepan dengan masalah kelewatan pembayaran oleh pihak produksi dan faham tentang perasaan itu.
“Saya faham perasaan pelakon dan kru apabila menerima bayaran lewat, sebab saya juga pernah melaluinya.
“Bawah produksi Ariz Media Entertainment Sdn. Bhd. saya akan pastikan pembayaran gaji kru dan pelakon mengikut jadual yang ditetapkan,” tegas Bella.

Drama segar, moden
Bercakap lebih lanjut, Bella berkata, dia mahu rumah produksinya memiliki identiti tersendiri dengan menerbitkan drama yang lebih segar dan moden.
“Selain moden dan segar, drama yang diterbitkan oleh produksi saya juga mesti mempunyai elemen memperkasakan wanita,” jelasnya.
Walaupun kini bergelar penerbit dengan membuka syarikat sendiri, Bella berkata, dia masih terbuka dan bersedia untuk berlakon dengan produksi lain.
“Walaupun telah membuka rumah produksi sendiri, saya masih lagi terbuka untuk menerima tawaran berlakon daripada produksi lain.
“Saya masih sayangkan bidang lakonan,” katanya seraya menoktahkan perbualan.















