fbpx

Ancaman bom Southkey: Kami takut tapi terpaksa kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PUSAT beli belah dan hotel di Southkey telah beroperasi seperti biasa semalam.

JOHOR BAHRU – Insiden ancaman bom di The Mall dan Mid Valley Southkey serta St. Giles Hotel Southkey di sini kelmarin menimbulkan rasa takut dalam kalangan pekerja dan pelanggan pusat beli-belah berkenaan.

Biarpun ancaman itu ­dikategori palsu, namun insiden seharusnya membuka mata semua pihak berhubung soal ­keselamatan.

Nurul Syafiqah Abdullah, 32, mengakui insiden berkenaan menimbulkan rasa takut dalam dirinya untuk bekerja, namun terpaksa dilalui bagi membantu keluarga mencari rezeki.

Katanya, kejadian (bom) se­perti itu yang didalangi oleh pihak ekstremis pernah berlaku di negara jiran, namun tidak mustahil boleh berlaku di negara ini.

“Demi mencari pendapatan, saya terpaksa datang bekerja pada hari ini (semalam) walaupun terdetik rasa takut dan bimbang soal keselamatan. Saya tidak ada pilihan lain, takkan mahu berhenti kerja disebabkan ancaman berkenaan.

“Saya harap insiden seperti ini tidak akan berulang di masa akan datang,” katanya yang turut berharap pihak pengurusan dapat mempertingkat tahap ­keselamatan di pusat beli-belah itu sebagai langkah berjaga-jaga.

Luahan sama disuarakan pekerja restoran di pusat beli belah berkenaan dikenali Ahmad Syazwan, 20, yang memberitahu kejadian ancaman bom itu telah membuka mata semua pihak berhubung soal keselamatan.

“Walaupun kami cukup lega ia hanyalah ancaman palsu, namun cukup mencemaskan kami.

SEBAHAGIAN daripada pengunjung dan pekerja yang diarahkan keluar selepas pusat beli-belah dan hotel menerima ancaman bom kelmarin.

“Betul perkara itu (meletupkan bangunan) tidak pernah berlaku di negara itu, ia tidak memberi sebarang jaminan terhadap keselamatan kami. Harapnya tidak ada lagi ancaman seperti ini di masa akan datang,” ujarnya.

Katanya, dia terpaksa menghubungi rakannya untuk pulang ke rumah setelah tidak dibenarkan memasuki pusat beli-belah berkenaan untuk mengambil barangan peribadi termasuk kunci motosikalnya.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat semalam mengesahkan panggilan telefon lelaki warga asing yang mendakwa telah meletakkan bom di pusat beli-belah dan hotel ternama di sini adalah palsu.

Hasil pemeriksaan unit pemusnah bom dan anjing pengesan K9 mengesahkan tiada sebarang objek yang mencurigakan dikesan dan kawasan berkenaan dilapor­kan selamat dan bero­perasi se­perti sedia kala semalam.

Berita berkaitan: Pengunjung diarah keluar dipercayai ancaman bom

Kelmarin, lebih 9,000 pengunjung dan pekerja pusat beli-belah dan hotel terkenal itu cemas selepas diarahkan keluar daripada bangunan itu selepas pihak pe­ngurusan dikatakan menerima ancaman bom.

Lelaki bersuara garau itu memberi amaran kepada pihak pengurusan itu supaya berhenti memberikan sokongan kepada perjuangan Palestin ketika ini.

ONN HAFIZ (kanan) meninjau keadaan terkini pusat beli-belah Mid Valley Southkey, Johor Bahru semalam.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berharap rakyat negeri ini tanpa mengira latar belakang sama-sama mendoakan kesejahteraan dan keselamatan Johor terma­suk daripada ancaman bom.

Menurutnya, ancaman diterima kelmarin telah menimbulkan situasi panik kepada pengunjung.

“Saya telah meninjau ke lokasi kejadian untuk melihat sendiri keadaan di sana dan menurut polis keadaan di pusat beli-belah dan hotel adalah terkawal dan selamat untuk dikunjungi.

“Syukur Alhamdulillah, hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang objek mencurigakan dan mengesahkan ia selamat untuk beroperasi seperti biasa.

Marilah kita sama-sama berdoa agar negeri Johor terus terpelihara daripada sebarang ancaman mahupun insiden yang tidak diingini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI