fbpx
ANIS sering ditengking, dihina dan disindir suami disebabkan tidak sehaluan dalam menyokong parti politik. – Gambar hiasan

Cerai kerana suami fanatik politik, isteri tertekan dipaksa ikut sehaluan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERTENGKAR hingga membawa kepada perceraian gara-gara tidak sehaluan dalam politik?

Kedengaran agak kurang masuk akal, tetapi itulah hakikat yang berlaku dalam hidup wanita bernama Anis (bukan nama sebenar).

Menurut anak jati Lenggeng, Negeri Sembilan ini, dia langsung tidak pernah menyangka mahligai rumah tangga yang dibina lebih setengah dekad itu ranap akhirnya.

Lebih menyedihkan, perceraian dia dan bekas suami, Dollah (bukan nama sebenar) berlaku disebabkan ketidaksehaluan masing-masing dalam politik.

“Sejak mengenali suami lagi, dia memang seorang yang cintakan politik. Boleh dikatakan hidup matinya hanya untuk politik.

“Tidak hairanlah kerana keluarga sebelah suami juga ramai yang bekerja dan menjadi orang politik. Kata orang ibarat ke mana tumpahnya kuah, jika tak ke nasi?” tutur Ani kepada K2.

Beritahu ibu kepada dua cahaya mata perempuan itu, suaminya bekerja untuk satu parti politik dan mempunyai jawatan dalam politik yang boleh dibanggakan. Selain itu, suaminya juga ada mengusahakan perniagaan online.

Cerita Anis lagi, ketiadaan suami di rumah sudah menjadi lumrah dan perkara normal, lebih-lebih lagi ketika musim pilihan raya.

“Suami memang antara insan yang paling sibuk, lebih-lebih lagi kalau tiba musim pilihan raya, tidak kisahlah Pilihan Raya Umum (PRU) mahupun Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Boleh dikatakan siang malam jarang nak nampak dia ada di rumah. Ikut program sana sini. Kadang-kadang sibuknya itu mengalahkan calon yang bertanding.

“Tetapi kami (saya dan anak-anak) akur akan tugas suami sebagai antara orang kuat dalam parti politik yang disertai,” katanya.

Luah Anis lagi, bukan mahu membuka pekung apatah lagi aib bekas syurganya itu, adakalanya sampai terlalu sibuk, kebajikan anak-anak pun terabai dan diserahkan kepada isteri bulat-bulat.

Akui anak kedua daripada tiga beradik itu lagi, dia juga sibuk kerana mempunyai kerjaya sebagai guru taska dan adakalanya terpaksa ‘mengabaikan’ seketika anak-anak kerana kekangan waktu.

“Jujur saya kata, ada masa itu saya rasa macam hidup bagai ibu tunggal. Memang bab nafkah, kewangan itu suami tidak pernah abaikan, tetapi dari segi masa bersama kami, Tuhan saja yang tahu.

“Adakala saya pendam rasa sedih ini seorang diri. Itu (kerja) memang boleh dikatakan periuk nasi keluarga, tetapi kalau sampai mengabaikan keluarga, itu dikira bagaimana?” soal Anis.

Membuatkan Anis tambah tertekan apabila suaminya selepas itu sering memaksa Anis mengikut haluan politik yang disertainya.

Jelas Anis, parti politik yang dipilih dirinya sejak remaja memang bertentangan dan tidak sehaluan dengan suaminya, namun hal tersebut tidak pernah menjadi isu.

“Suami juga memang tahu saya penyokong parti itu. Sebelum ini memang tiada masalah sebab undi adalah rahsia dan mana-mana parti yang kita sokong pun terserah kepada diri sendiri.

“Namun, mutakhir ini (pertukaran kerajaan terlalu kerap) membuatkan suami seolah-olah berang dengan saya dan memaksa untuk saya mengikut haluan politiknya.

“Benda yang tidak pernah jadi isu tiba-tiba dibangkitkan menjadi isu yang akhirnya membawa kepada pertengkaran.

“Saya faham suami sayangkan parti politiknya, tetapi saya ini isteri dia, kalau kerap kali saya ditengking, dihina, disindir dan diperli disebabkan parti politik yang tidak sehaluan dengannya, adakah itu baik?” soalnya lagi.

Lebih menjengkelkan, suami seakan-akan taksub dan apa yang keluar dari mulutnya kononnya 100 peratus benar dan tidak boleh disangkal sesiapa sahaja.

Hampir tiga tahun hidup bertemankan ‘mangsa politik’ selain kebajikan serta tanggungjawab keluarga diuruskan sendiri, Anis nekad dengan keputusan untuk berpisah dengan suaminya mengikut lunas undang-undang di mahkamah.

Beberapa bulan menyambung siksa seraya menunggu keputusan dan keadilan, penat lelahnya naik turun mahkamah syariah akhirnya terbalas apabila permohonan cerainya berpihak kepada dirinya baru-baru ini.

Bagi Anis, dia mampu meneruskan hidup dan sudah terbiasa membesarkan kedua-dua anaknya tanpa lelaki bernama suami di sisi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN