fbpx

Belanjawan 2024: RM160 juta diperuntuk, galak banyak karya seni Malaysia – KKD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA – Keprihatinan kerajaan dalam menghargai bakat-bakat kreatif tempatan turut direalisasikan dengan peruntukan sebanyak RM160 juta bagi menggalakkan penghasilan lebih banyak karya seni di Malaysia.

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dalam kenyataan berkata, sejumlah RM60 juta pula disalurkan kepada Dana Kandungan Digital untuk mempromosikan karya tempatan dan menyokong kandungan berteraskan nilai kenegaraan.

Katanya, bagi memastikan industri perfileman negara mampu bersaing di peringkat antarabangsa, sebanyak RM90 juta dikhaskan di bawah inisiatif Film in Malaysia Incentive (FIMI).

“Manakala Skim Dana Padanan MyCreative diperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi menyokong anak-anak seni dalam penghasilan projek kreatif.

“Pada masa yang sama, kerajaan bersetuju untuk memberikan pengecualian sepenuhnya duti hiburan bagi persembahan pentas oleh artis tempatan serta pengurangan kepada 10 peratus duti hiburan bagi persembahan pentas oleh artis antarabangsa dan acara hiburan lain seperti tayangan filem,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, KKD menghargai sokongan kerajaan dalam menggalakkan kemasukan produksi filem asing melalui cadangan penetapan kadar cukai pendapatan khas antara 0 hingga 10 peratus kepada syarikat produksi filem, pelakon serta kru filem asing yang menjalankan penggambaran filem di Malaysia.

Dalam pada itu, sebanyak RM40 juta disediakan bagi pelaksanaan program Shop Malaysia Online sebagai galakan kepada peniaga kecil, khususnya dalam bidang makanan untuk berniaga dari rumah.

“Sejumlah RM25 juta pula diperuntukkan bagi memperkasakan peranan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menyokong pengusaha kecil memasarkan dan menjual hasil produk secara dalam talian,” ujarnya.

Selain itu, bagi meningkatkan kesiapsiagaan terhadap ancaman serangan siber, sebanyak RM60 juta diperuntukkan kepada CyberSecurity Malaysia untuk membangunkan Rangka Kerja Pengujian Keselamatan Siber 5G serta kepakaran tempatan terhadap teknologi 5G.

Katanya, usaha untuk melonjakkan penerimagunaan 5G akan terus dipertingkatkan dengan memperluas kerjasama bersama syarikat telekomunikasi agar lebih ramai pengguna dan perusahaan mendapat manfaat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI