fbpx
WAWA ZAINAL

Mewah, bahagia level ‘kayangan’, Wawa bukan riak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIDAK pernah meletakkan noktah terhadap dunia lakonan, si cantik itu mengakui hanya masa menjadi penghalangnya daripada terus aktif menjadi Wawa Zainal seperti dikenali pada awal kemunculan.

Bukan sombong, jauh sekali memilih watak, pemilik nama lengkap Nur Hawa Zainal Abidin mendedahkan kesibukan menguruskan perniagaan dan keluarga menghilangkan seketika keinginan buat kecintaan pertamanya itu.

Begitupun, wanita asal Sabah itu tidak pernah ralat dengan pertimbangan diambil melihat nikmat bahagia dapat mendidik sendiri empat permata hati yang kini tumbuh indah depan mata.

“Inilah dunia saya sekarang, membesarkan Ahmad Fakhruddin Attar, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, Ayya Soffya dan si kecil yang bakal dua tahun November ini, Muhammad Fahri.

“Dalam diam abang sulung sudah cecah sembilan tahun. Saya bersyukur diberikan peluang memastikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu dapat dilunaskan sebaik mungkin.

“Memang sesekali rindu set penggambaran, tapi apabila sibuk dengan hal pejabat dan melayan keluarga memang terus terlupa pasal lakonan,” ujarnya tertawa kecil.

Wawa yang duduk di sebelah suami, Aeril Zafril sempat menjeling manja ke arah teman hidupnya itu sambil meluahkan rasa bertuah masih diberikan kebebasan untuk bekerja.

WAWA Zainal ingin jadi isteri dan ibu terbaik kepada keluarga sekali gus memberikan suri teladan buat
insan-insan tersayang dalam hidupnya.

Tambah wanita kecil molek itu juga, andai ingin aktif semula pun tidak menjadi halangan buat Aeril. Selain menjadi suami dan bapa kepada anak-anak, Aeril jugalah yang menyuntik semangat untuk terus berusaha membina legasi dalam dunia perniagaan.

“Kami saling menyokong, berkenalan pun menerusi industri lakonan hingga akhirnya disatukan sebagai suami isteri sejak 11 tahun lalu.

“Mana mungkin Aeril meletakkan halangan kerana dia pun tahu saya jenis yang kuat bekerja, tetapi apabila membabitkan soal anak semua perkara lain saya tolak ke tepi.

“Tengok nanti apabila permata hati kami sudah besar sikit, memang saya akan curi peluang berlakon lagi. Buat masa ini tahan dulu,” katanya.

Kali terakhirnya, Wawa, 31, dan Aeril bergandingan sekitar 2021 menerusi filem keagamaan berjudul Sabda Kekasih arahan Azhari Zain.

BERGELAR isteri dan ibu pada usia muda, Wawa bersyukur dikurniakan Ariel sebagai teman hidup yang memanjakannya dirinya masih sama seperti mula-mula berkahwin sejak 11 tahun lalu.

Dilayan bak ratu

Diusik mengenai layanan ‘kayangan’ Aeril, dimewahkan dengan barangan berjenama sehingga terbaharu dihadiahkan kenderaan pacuan empat roda jenis Brabus 900 Rocket Edition

dianggarkan bernilai jutaan ringgit, sekali lagi Wawa tersenyum manis.

Menegaskan setiap pasangan mempunyai cara menghargai teman hidup, dia berharap apa yang dikongsi tidak dijadikan perbandingan, sebaliknya menyuntik semangat pasangan lain untuk sama berusaha saling membahagiakan.

“Kami pernah hidup susah, malah sebagai isteri saya enggan meminta-minta. Macam kereta, kenderaan itu turut digunakan seisi keluarga.

“Kehidupan kami sebenarnya sama macam pasangan lain, tidaklah bermewah-mewah. Anak-anak pun bukan sepanjang masa menggayakan baju berjenama.

“Sebagai isteri, saya cuma menghargai apa yang suami beri, selain bersyukur kehidupan dilengkapi empat cahaya mata yang lincah dan bijak,” ujarnya.

TIDAK menjadikan Wawa Cosmetic eksklusif diwakili diri sendiri, Wawa percaya kerjasama dengan lebih ramai personaliti popular akan mengukuhkan jenama perniagaannya.

Tak tamak kongsi rezeki

Tidak melupakan tenaga belakang tabir empayar perniagaan yang dimulakan sejak tujuh tahun lalu, Wawa menyifatkan para pekerja sebagai tulang belakang yang menggerakkan kejayaannya selama ini.

Pada masa sama, bintang yang menceburi arena lakonan menerusi filem Hantu Dalam Botol Kicap pada 2012 itu selesa bekerjasama dengan ramai rakan artis dan pempengaruh media sosial jurucakap produk keluarannya.

Enggan tamak menonjolkan diri sendiri sebagai bahan promosi, Wawa yakin jenama produknya mampu berkembang dengan kolaborasi bersama personaliti lain.

Terbaharu Wawa Cosmetics memilih pensohor media sosial, Dahlia Rizal sebagai duta bagi krim pelindung matahari Wawa Tinted Sunscreen yang baru dilancarkan.

“Selain berkongsi rezeki, saya tak mahu tamak atau tidak melihat soal pemasaran sebagai sesuatu yang boleh dipandang ringan.

“Saya pilih Dahlia sebab terpegun dengan kejelitaannya yang membuatkan saya buat keputusan untuk jadikannya sebagai duta.

“Sebagai wanita, saya sendiri suka lihat wanita cantik, namun dalam bekerja saya juga tengok kepada cara seseorang itu bekerja.

“Selepas ini ada lagi produk lain menyusul terutama tudung yang akan menjalani penggambaran bagi promosi di Turkiye. Saya akan ke sana dalam masa terdekat,” katanya.

WAWA tidak melihat perkongsian bahagia dan kemewahan dalam media sosial sebagai menunjuk-nunjuk, sebaliknya sumber inspirasi kepada masyarakat untuk berusaha keras demi mencapai kejayaan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN