fbpx

Micron tingkat operasi menerusi pembinaan kilang baharu di Batu Kawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kon Yeow (tengah) bersama Gursharan (tiga dari kiri) dan Amarjit mencurahkan pasir berwarna keemasan pada papan tanda bertulis Micron sebagai simbolik sempena majlis sambutan ulang tahun penubuhan Micron ke-45 serta pelancaran kilang pintar kedua syarikat itu di Batu Kawan, hari ini.

SEBERANG PERAI – Syarikat peneraju dalam industri memori inovatif dan penyelesaian penyimpanan antarabangsa yang berpangkalan di Pulau Pinang, Micron Technology Inc. mengukuhkan lagi jenama mereka dalam bidang semikonduktor menerusi pelancaran fasiliti perkilangan pintar kedua di Batu Kawan, di sini hari ini.

Difahamkan, kilang kedua yang dibangunkan dengan pelaburan keseluruhan berjumlah kira-kira AS$1 bilion (RM4.73 bilion) itu telah memulakan operasinya sejak awal tahun ini.

Menurut Naib Presiden Kanan Bahagian Pemasangan Global dan Ujian Operasi Micron, Gursharan Singh, pembukaan fasiliti baharu ini membolehkan syarikat mengeluarkan lebih banyak produk berkualiti buat pelanggan, selain mengurangkan tempoh menunggu berbanding sebelum ini.

Menurutnya, selain pelaburan awal AS$1 bilion untuk pembangunan fasiliti, pihaknya mungkin akan menggandakan jumlah pelaburan tersebut dalam tempoh beberapa tahun untuk melengkapkan pembinaan kemudahan berkenaan di kilang yang berkeluasan kira-kira 1.5 juta kaki persegi (139,000 meter persegi) secara keseluruhannya itu.

“Pengembangan operasi ini membolehkan Micron Malaysia memenuhi permintaan semasa yang tinggi terhadap produk berkaitan semikonduktor atau elektronik yang digunakan dalam bidang teknologi transformatif, seperti kecerdasan buatan (AI) serta pembangunan kenderaan elektrik dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri majlis sambutan ulang tahun Micron yang ke-45 yang diadakan serentak bersama acara pelancaran kilang pintar berkenaan.

Kon Yeow (tengah) menerima cenderamata penghargaan daripada Gursharan pada majlis sambutan ulang tahun penubuhan Micron ke-45.

Hadir sama pada majlis yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow itu ialah Naib Presiden Korporat, Bahagian Pemasangan serta Operasi Ujian NAND untuk Micron Technology, Amarjit Sandhu.

Difahamkan, kilang Micron pertama yang dibangunkan di Pulau Pinang sebelum ini terletak di kawasan perindustrian Perai dan ia telah dibuka sejak lapan tahun lalu.

Dalam pada itu, Kon Yeow mengalu-alukan pembinaan kilang kedua oleh syarikat gergasi dalam dunia semikonduktor itu di negeri ini, dan menyokong sebarang bentuk pengembangan operasi yang disifatkannya memberi manfaat besar buat penduduk di Pulau Pinang.

Katanya, dengan adanya dua buah kilang Micron yang melibatkan pelaburan sebanyak AS$2 bilion, kira-kira 4,500 peluang pekerjaan telah berjaya diwujudkan.

“Ini adalah satu contoh klasik yang kita selalu sebut mengenai pelaburan berkualiti tinggi yang akhirnya boleh mewujudkan peluang pekerjaan yang bernilai tinggi.

“Dengan pelaburan tambahan oleh Micron ini, kita yakin Pulau Pinang khususnya dan Malaysia amnya masih menjadi destinasi pelaburan yang menarik terutamanya dalam sektor pembangunan industri berasaskan elektrik dan elektronik,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI